GUA MUSANG: Kira-kira 2,000 penduduk Orang Asli di pedalaman dari daerah ini, menerima bantuan 10 tan beras bagi membantu mereka yang terkesan dengan cuaca panas akibat Monsun Barat Daya, sejak bulan lepas.

Bantuan daripada Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri itu, diagihkan kepada 608 ketua isi rumah (KIR) bermula Mei, memandangkan cuaca panas mengehadkan aktiviti harian penduduk termasuk bertani, selain turut menyebabkan tanaman kurang menjadi.

Orang Asli suku Temiar Lenoi Ranggas, 23, berterima kasih dengan sumbangan itu kerana amat membantu penduduk, terutamanya kepada mereka yang bekerja sebagai penoreh getah.

“Cuaca panas menyebabkan (susu) getah tidak banyak. Ada juga hari kami tidak keluar menoreh disebabkan cuaca terlalu terik. Bila tidak menoreh, maka tiada duit untuk membeli barangan dapur,” katanya kepada pemberita di Kampung Berim Baru, di sini hari ini.

Sementara itu, Pandak Andak, 84, berkata sumbangan itu amat bermakna buat penduduk yang buntu mendapatkan sumber makanan ketika ini.

“Sebagai penduduk di kawasan pedalaman, kami banyak bergantung kepada hasil tanaman dan hutan, (menyebabkan) kami berdepan kekurangan sumber makanan pada musim panas.

“Tambahan pula, ancaman haiwan liar semakin ketara di kawasan penempatan membuatkan kami terpaksa mengehadkan aktiviti berburu di hutan berdekatan,” katanya.

Sementara itu, ADUN Nenggiri Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata sumbangan itu bagi membantu penduduk Orang Asli di Pos Simpor, Pos Pasik dan Kuala Wook, ketika musim kemarau.

Selain cuaca panas, Mohd Azmawi berkata penduduk di situ juga berdepan risiko keselamatan akibat kehadiran haiwan liar.

“Cuaca panas berterusan menyebabkan banyak hasil pertanian mereka tidak dapat dikeluarkan. Semoga pemberian beras ini dapat meringankan beban masyarakat di pedalaman,” katanya.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) memaklumkan Monsun Barat Daya dijangka bermula 10 Mei dan berterusan sehingga September ini, antara lain menyebabkan kurangnya pembentukan awam hujan di kebanyakan tempat.