KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pendidikan (Pindaan) 2025 malam ini, menandakan satu langkah bersejarah dalam sistem pendidikan negara dengan mewajibkan pendidikan menengah.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menyifatkan pindaan terhadap Akta Pendidikan 1996 sebagai detik penting dalam pembangunan modal insan. “Pendidikan ini adalah hak kelahiran setiap anak-anak, maknanya setiap anak-anak ini lahir dengan hak untuk mendapat pendidikan,“ katanya.
Ahli Parlimen dari kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang menyokong pindaan ini, menganggapnya sebagai reformasi penting. Cha Kee Chin (PH-Rasah) berkata inisiatif ini akan melonjakkan mutu pendidikan dan pembangunan modal insan.
Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) pula menyatakan pendidikan menengah wajib mampu memutuskan kitaran kemiskinan dan meningkatkan kebolehpasaran pelajar. Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) menegaskan usaha ini tepat untuk membina generasi berilmu dan berdaya saing.
RUU ini memperkenalkan seksyen baharu 32A yang mewajibkan ibu bapa mendaftarkan anak mereka di institusi pendidikan menengah. Teresa Kok (PH-Seputeh) mencadangkan kementerian perlu menangani isu keciciran seperti beban kewangan keluarga miskin. - Bernama