SANDAKAN: Sebanyak dua lagi Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) sedang dalam pelaksanaan di Sabah, menjadikan jumlah keseluruhan 132 NADI di negeri ini, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata dua NADI yang sedang dalam pembinaan itu ialah NADI Kampung Gelam dan NADI Pulau Banggi, yang akan memberikan perkhidmatan digital kepada penduduk di kawasan berkenaan.

“Daripada jumlah keseluruhan NADI di Sabah, 118 NADI sedia ada telah beroperasi dengan baik manakala 12 NADI baharu juga telah mula beroperasi,“ katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Hari Bersama Komuniti (HBK) di NADI Sim Sim, di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong Shir Yee, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Papat Datuk Frankie Poon, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Anggota Suruhanjaya bagi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Jen (B) Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Arul Rajoo Durar Raj.

Sebanyak 1,099 NADI telah dibangunkan di seluruh negara, dengan Sabah mempunyai jumlah kedua terbanyak selepas Sarawak yang memiliki 156 NADI.

Fahmi berkata di daerah Sandakan sahaja, terdapat lapan buah NADI yang beroperasi secara aktif, termasuk NADI Sim Sim, NADI Pekan Batu Sapi, NADI PPR Taman Mesra, NADI Taman Mawar, NADI PPR Taman Murni, NADI Kampung Sungai Kayu, NADI Sebait Padas dan NADI PPR Taman Gum Gum.

Beliau berkata hampir 12,000 penduduk yang menetap di setiap kawasan NADI di Sandakan telah mendapat manfaat daripada pelbagai program dan kemudahan yang disediakan.

Katanya antara program yang dijalankan termasuk inisiatif Perkhidmatan Pintar yang merangkumi lima teras utama iaitu Keusahawanan, Pembelajaran Sepanjang Hayat, Kesejahteraan Kendiri, Kesedaran, dan Inisiatif Kerajaan.

NADI ialah inisiatif Kementerian Komunikasi yang dilaksanakan menerusi MCMC. Ia menyediakan capaian Internet dan pendedahan teknologi kepada komuniti tempatan, serta meningkatkan taraf ekonomi dan sosial melalui kemudahan dan akriviti di NADI.

Sementara itu, beliau berkata program HBK kali ini turut mengetengahkan Kempen Internet Selamat yang memberi tumpuan kepada pelajar sekolah rendah berumur bawah 13 tahun, bertujuan mendidik mereka tentang penggunaan internet yang selamat dan beretika.

“Golongan ini merupakan pengguna Internet yang aktif, namun mereka juga antara yang paling terdedah kepada pelbagai risiko siber. Melalui kempen ini, kanak-kanak diberi pendedahan tentang peraturan asas penggunaan Internet,“ katanya.

Fahmi berkata NADI Sim Sim yang mula beroperasi pada 22 Okt 2019 itu telah berjaya melahirkan ramai usahawan komuniti yang kini mampu memasarkan produk mereka secara dalam talian melalui platform digital seperti Facebook, Instagram, TikTok dan Shopee.