Your Title

KUALA LUMPUR: Malaysia mengeksport 54,665 tan minyak sawit dan produk berasaskan sawit bernilai RM288.23 juta ke negara Asia Tengah iaitu Uzbekistan, Kazakhstan, Tajikistan, Kyrgyzstan dan Turkmenistan pada 2024.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin berkata pihaknya melalui Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) terus komited untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peserta utama dalam membekalkan minyak sawit ke Asia Tengah di samping meningkatkan penguasaan pasaran minyak sawit di Pakistan.

“Asia Tengah merupakan destinasi eksport penting bagi minyak sawit Malaysia.

“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, MPOC selaku agensi yang bertanggungjawab mempromosikan minyak sawit Malaysia telah melaksanakan pelbagai inisiatif di rantau tersebut,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, Rabu.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai usaha terbaharu Kementerian Perladangan dan Komoditi untuk menjadikan Malaysia sebagai peserta industri terbesar dalam pembekalan minyak kelapa sawit di Asia Tengah dan kembali dominan dalam pengedaran minyak sawit di Pakistan.