• 2025-09-01 07:41 PM

SEREMBAN: Lima ahli sebuah keluarga di sini memanfaatkan Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARА) RM100 untuk membeli barangan dapur selama dua bulan.

Graduan institusi pendidikan tinggi Norsarah Hishamuddin, 28, berkata bantuan itu sangat bermakna kerana dapat membantu kedua ibu bapanya membeli keperluan harian.

Norsarah bersama dua adiknya berusia 25 dan 20 tahun serta ibu bapa mereka yang bekerja sebagai pendidik masing-masing menerima bantuan RM100, menjadikan jumlah keseluruhan RM500 untuk keluarga tersebut.

“Saya dan adik-beradik belum bekerja, sekurang-kurangnya bantuan ini dapat tolong ibu dan ayah beli barangan keperluan harian,” katanya kepada Bernama.

Beliau berharap inisiatif murni seperti itu bukan sekadar bantuan kewangan tetapi menunjukkan Kerajaan MADANI benar-benar prihatin dengan kesejahteraan rakyat.

Tinjauan Bernama di beberapa pasar raya di Johor mendapati orang ramai mengambil peluang cuti umum untuk membeli barangan keperluan asas.

Nor Hanida Md Yasin, 45, berkata dia dan suami bercadang menebus bantuan secara berperingkat bagi menguruskan perbelanjaan bulanan dengan lebih teratur.

“Dengan RM100 itu, bolehlah saya beli gula, beras, minyak masak, sardin, susu tin dan macam-macam lagi,” katanya yang menetap di Pulai Jaya.

Pekerja swasta S. Segar, 34, berkata dia teruja apabila pertama kali berpeluang menebus bantuan SARA untuk membeli barangan dapur.

Bantuan SARA berjumlah RM100 secara sekali beri mula disalurkan semalam melalui MyKad, memberi manfaat kepada 22 juta rakyat dengan peruntukan RM2 bilion. – Bernama