• 2025-07-04 08:02 PM

KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick hari ini melancarkan projek pembinaan bangunan baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Tambatuon bernilai RM42 juta, yang dijangka siap dalam tempoh 24 bulan bermula bulan ini.

Projek di bawah Rolling Plan Ketiga, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12 RP3) itu bakal menggantikan bangunan sekolah sedia ada yang uzur, dan akan dilengkapi pelbagai kemudahan moden termasuk 10 bilik darjah, bilik Rekabentuk dan Teknologi (RBT), makmal sains, kantin, surau, blok pentadbiran, ruang terbuka berbumbung serta padang.

“Saya berharap projek ini berjalan lancar dan siap mengikut jadual yang ditetapkan agar dapat dimanfaatkan oleh murid-murid dan penduduk kampung yang menaruh harapan besar terhadap kemudahan pendidikan yang lebih baik,“ katanya dalam kenyataan selepas menyempurnakan majlis pecah tanah projek itu di sini hari ini.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata sebagai Pengerusi Bersama Jawatankuasa Intervensi Penyelarasan Pemantauan Projek Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), beliau bertanggungjawab memantau kelancaran pelaksanaan projek pembangunan yang dibiayai kerajaan Persekutuan di seluruh Sabah.

“Ini sebahagian daripada mandat kami agar semua projek dapat dipercepatkan pelaksanaannya demi kepentingan rakyat. Sebagai ADUN Kadamaian dan anggota kabinet Persekutuan, saya pastikan keperluan pembangunan berskala besar dapat dibawa ke kawasan ini dalam RMK-13 yang bermula tahun depan hingga 2030,“ katanya.

Menurut beliau, Pelan Pembangunan Kadamaian yang dilancarkan pada 2020 telah menunjukkan banyak kemajuan dan akan terus diperkasakan untuk manfaat penduduk setempat.

Ewon turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Belud atas komitmen mereka dalam menaik taraf sekolah-sekolah daif, khususnya di kawasan DUN Kadamaian.

“Sebahagian projek telah siap, ada yang sedang berjalan, dan banyak lagi akan dikemukakan dalam RMK-13. Saya ucapkan tahniah kepada JKR Sabah selaku agensi pelaksana, serta Pejabat Pembangunan dan Pejabat Daerah Kota Belud yang turut menyumbang dalam pembangunan daerah ini,” katanya. - Bernama