IPOH: Polis akan memanggil jiran kepada suspek kes dera seorang kanak-kanak perempuan berumur lapan tahun yang meninggal dunia Ahad lepas, bagi merakam keterangan sebagai saksi, dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid (gambar) berkata guru sekolah kanak-kanak berkenaan juga akan dipanggil untuk dirakam keterangan.

Beliau berkata fokus siasatan ketika ini adalah terhadap dua suspek, yakni ibu dan bapa saudara mangsa, yang direman sejak hari kejadian.

Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan sijil pelantikan ahli jawatankuasa perhubungan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Perak 2020-2022 di sini hari ini beliau berkata, ibu bapa kandung mangsa didapati telah bercerai dan hak penjagaan kedua-dua kanak-kanak itu diserahkan kepada kedua-dua suspek sejak tahun ini.

Media sebelum ini melaporkan sepasang suami isteri berusia 40 tahun direman tujuh hari berhubung kes kematian seorang kanak-kanak perempuan disyaki didera dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image