• 2025-09-22 09:02 AM

PUTRAJAYA: Seluruh rakyat Malaysia akan menikmati harga baharu RON95 pada RM1.99 seliter mulai 30 September ini dengan menggunakan MyKad di kaunter dan pam atau melalui aplikasi stesen minyak.

Manfaat ini akan dinikmati lebih awal oleh anggota polis dan tentera mulai 27 September serta penerima STR mulai 28 September.

Dalam hantaran sosial media beliau, Perdana Menteri Satuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia mengambil langkah berani menurunkan harga RON95 kepada RM1.99 seliter tatkala dunia berdepan suasana ekonomi global yang tidak menentu.

“Langkah ini adalah penghargaan tertinggi buat seluruh rakyat Malaysia yang terus gigih bekerja, berusaha dan berkongsi tekad bersama Kerajaan MADANI dalam melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara.

“Kejayaan kita hari ini adalah hasil kekuatan rakyat yang tidak pernah mengalah,” kata beliau.

Bagi golongan yang tidak layak seperti bukan warganegara, mereka akan membeli RON95 pada harga tanpa subsidi yang dianggarkan sekitar RM2.60 seliter.

Semua warganegara tanpa mengira tahap pendapatan yang mempunyai lesen memandu aktif layak menikmati manfaat BUDI95 secara automatik.

Semua rakyat akan menerima siling kelayakan bulanan BUDI95 sebanyak 300 liter tetapi pemandu e-hailing dikecualikan daripada had tersebut dan boleh memohon untuk had yang lebih tinggi. – Bernama