KUALA LUMPUR: Hasil kerajaan Persekutuan diunjur meningkat 2.7 peratus kepada RM343.1 bilion pada 2026 berbanding RM334.1 bilion yang dijangka pada 2025.
Kementerian Kewangan menyatakan peningkatan ini terutamanya disumbangkan oleh hasil cukai dalam laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2026.
Hasil cukai dianggar sebanyak RM270.4 bilion merangkumi 78.8 peratus daripada jumlah hasil atau 12.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar.
Hasil kerajaan persekutuan pada 2025 disemak semula dan dijangka meningkat 2.9 peratus kepada RM334.1 bilion berbanding 2024.
Hasil bukan cukai pula dianggar sebanyak RM72.7 bilion atau 3.4 peratus daripada KDNK untuk tahun 2026.
Bahagian hasil bukan cukai pada 2025 dianggar berkurang kepada RM80.7 bilion atau 24.2 peratus daripada jumlah hasil.
Kutipan cukai langsung diunjur meningkat 5.8 peratus kepada RM187.4 bilion pada 2026 merangkumi 69.3 peratus daripada jumlah hasil cukai.
Peningkatan ini terutamanya didorong oleh kutipan cukai pendapatan individu dan syarikat yang lebih tinggi.
Kutipan hasil cukai pendapatan syarikat kekal sebagai sumber terbesar cukai langsung dengan anggaran sebanyak RM103.4 bilion.
Anggaran ini disokong oleh aktiviti ekonomi domestik yang kekal mampan dan pelaksanaan penuh sistem e-Invois.
Cukai pendapatan individu dianggar meningkat 9.4 peratus kepada RM49.1 bilion pada 2026 mencerminkan kestabilan pasaran buruk dan pertumbuhan gaji berterusan.
Fasa kedua pelarasan gaji penjawat awam dijangka terus memperluas asas percukaian.
Hasil daripada komponen cukai langsung lain khususnya duti setem dan cukai keuntungan harta tanah dianggar meningkat kepada RM10.3 bilion dan RM2.4 bilion pada 2026.
Peningkatan ini sejajar dengan pertambahan transaksi dalam sektor hartanah.
Hasil berkaitan petroleum diunjur terus berkurang kepada RM43 bilion pada 2026 disebabkan oleh dividen Petronas yang lebih rendah.
Cukai tidak langsung diunjur meningkat 8.9 peratus kepada RM83 bilion pada 2026.
Cukai jualan dan perkhidmatan dijangka kekal sebagai komponen utama yang menyumbang sebanyak RM59.6 bilion atau 71.8 peratus daripada jumlah hasil cukai tidak langsung.
Cukai jualan dianggar sebanyak RM26.6 bilion manakala cukai perkhidmatan dijangka mencatat RM33 bilion.
Jumlah ini menggambarkan perbelanjaan penggunaan yang rancak sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Duti eksais dianggar mencatat RM12.8 bilion disokong oleh pengenalan model kenderaan baharu dan promosi yang agresif.
Peningkatan ini juga didorong oleh penamatan tempoh pengecualian duti eksais ke atas kenderaan elektrik completely built up bermula 2026.
Bagi kutipan cukai tidak langsung pada 2025 angka itu diunjur meningkat 11.3 peratus kepada RM76.3 bilion.
Peningkatan ini didorong oleh kutipan cukai jualan dan perkhidmatan yang lebih tinggi.
Cukai perkhidmatan dijangka melonjak 26.1 peratus kepada RM29.3 bilion lanjutan daripada perlaksanaan penuh cukai perkhidmatan dengan kadar lapan peratus.
Peningkatan ini juga berikutan peluasan skop perkhidmatan bercukai termasuk logistik sewaan dan perkhidmatan kewangan terpilih.
Cukai jualan dianggar meningkat 12 peratus kepada RM24.1 bilion didorong oleh penggunaan swasta yang rancak.
Peningkatan ini turut disebabkan oleh impak daripada peluasan cukai jualan ke atas barangan terpilih. – Bernama