KUALA LUMPUR: Hari Wartawan Nasional (HAWANA) menjadi simbol pengiktirafan kerajaan terhadap peranan penting pengamal media dalam membentuk masyarakat berinformasi, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Bagi pihak Kementerian Komunikasi selaku penganjur dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai agensi pelaksana HAWANA 2025, Fahmi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana meluangkan masa merasmikan Majlis Kemuncak HAWANA 2025, hari ini.

“Tema tahun ini “Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika” menekankan kepentingan menyesuaikan diri dengan kemajuan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam dunia kewartawanan, tanpa mengabaikan prinsip etika, ketepatan maklumat dan tanggungjawab sosial,” katanya ketika berucap pada sambutan Majlis Kemuncak HAWANA 2025 di sini.

Majlis Kemuncak yang dihadiri kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara itu dirasmikan oleh Perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj merangkap Pengarah Projek HAWANA 2025, dan barisan pengurusan tertinggi syarikat-syarikat media negara.

Sementara itu Fahmi turut mengalu-alukan kehadiran tetamu dari negara anggota ASEAN yang menyertai sambutan HAWANA hari ini, untuk bersama meraikan peristiwa penting ini.

“Kehadiran anda di sini bukan sahaja menyerlahkan kepentingan universal kewartawanan, tetapi juga menekankan impak global kerja-kerja yang anda semua lakukan.

“Semasa Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN tahun ini, kami berbesar hati menyediakan platform yang membawa suara dari seluruh rantau ASEAN, berkumpul bagi menangani cabaran bersama, menggalakkan pertumbuhan mampan dan mengukuhkan perpaduan dalam kalangan negara kita,” katanya.

“Semasa anda berada di sini, kami berharap anda juga akan mengambil peluang untuk menikmati keindahan kekayaan budaya kami, layanan mesra, dan semangat dinamik yang menjadikan Malaysia benar-benar unik,“ katanya.

Sambutan HAWANA 2025 dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan Bernama selaku agensi pelaksana, bertujuan mengiktiraf peranan dan sumbangan pengamal media dalam pembangunan negara.

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional bersempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939, bagi meraikan sumbangan pemain industri yang menjadi medium untuk membentuk minda masyarakat bermaklumat.