the sun malaysia ipaper logo 150x150
Sunday, July 26, 2026
26.4 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

ICQS Rantau Panjang sesak, ribuan perantau Malaysia-Thailand pulang beraya

KOTA BHARU: Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang mengalami kesesakan sejak awal pagi tadi, berikutan orang ramai dari Thailand dan Malaysia mula pulang ke kampung bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Rantau Panjang, Siti Khadijah Hamzah berkata kesesakan ini dijangka berlarutan sehingga malam perayaan.

Beliau berkata jumlah warga Thailand yang keluar masuk di kompleks itu mencecah 18,934 orang sejak 23 Mac hingga semalam, sekali gus menyebabkan kesesakan ketara di pintu sempadan berkenaan.

“Sejak 7.30 pagi tadi, pengunjung berbaris panjang, dan ada ketika hampir empat kilometer dari pintu masuk.

“Situasi ini memaksa pihak berkuasa meningkatkan kawalan dan mempercepatkan pemeriksaan bagi melancarkan pergerakan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beberapa warga Thailand yang ditemui Bernama berkongsi keterujaan mereka untuk kembali ke kampung halaman.

Jirawat Somchai, 35, yang bekerja di Kuala Lumpur berkata dia hanya dapat pulang setahun sekali dan kesesakan di pintu sempadan sudah menjadi kebiasaan.

“Setiap tahun, keadaan memang sesak begini, tapi saya tetap teruja kerana akhirnya dapat bertemu keluarga,” katanya yang membawa dua bagasi besar berisi ‘buah tangan’ untuk keluarganya di Pattani.

Seorang lagi pekerja Nuanthip Saensuk, 28, berkata dia dan rakan-rakannya sanggup beratur lama demi memastikan mereka dapat melintasi sempadan sebelum malam.

“Kalau lambat, nanti semakin ramai orang dan perjalanan akan jadi lebih panjang. Kami sampai sini sejak pagi tadi, tapi masih belum dapat masuk,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama di lokasi sehingga pukul 4 petang tadi mendapati suasana di ICQS Rantau Panjang begitu sibuk dengan aliran keluar masuk kenderaan yang berterusan.

Di laluan pejalan kaki, orang ramai berbaris panjang menunggu giliran melepasi pemeriksaan. Ada yang sabar berdiri di bawah terik matahari, sementara sebahagian lagi duduk di atas bagasi besar yang bertimbun di sekeliling mereka.

Kanak-kanak kecil dilihat berlari-lari di celah kelompok orang dewasa, sementara ibu bapa mereka cuba mengawal keadaan agar tidak terpisah dalam kesesakan yang semakin memuncak.

Bagi yang baru tiba, wajah mereka jelas memaparkan keletihan setelah menempuh perjalanan jauh. Namun, semangat untuk pulang beraya bersama keluarga tetap mengatasi segala kepayahan.

Bagi mengurangkan kelewatan dan memastikan kelancaran proses keluar masuk, pihak berkuasa mengaktifkan operasi tambahan, memperluaskan waktu operasi sempadan dan membuka lebih banyak kaunter.

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings