KUALA LUMPUR: Berikut antara inti pati ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026-2030 bertemakan Melakar Semula Pembangunan di Dewan Rakyat hari ini.
* Presiden Amerika Syarikat Donald J. Trump memutuskan untuk menyemak semula kadar tarif yang akan dikenakan ke atas Malaysia selewat-lewatnya esok.
* Presiden Amerika Syarikat Donald J. Trump mengesahkan akan hadir ke Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Kuala Lumpur pada Oktober ini.
* RMK13 akan menumpukan kepada tiga kebijakan utama iaitu:
i. Pertama - Tatakelola baik. Kerajaan MADANI meneruskan usaha memperkukuh integriti dan akauntabiliti, mempertingkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam serta memantapkan pengurusan fiskal.
ii.Kedua - Meningkatkan kerencaman ekonomi secara menyeluruh kepada penciptaan nilai dalam semua sektor ekonomi.
iii.Ketiga - Pembangunan yang terangkum dan responsif dengan keutamaan untuk menaikkan lantai dan darjat kehidupan rakyat.
* Dalam tempoh RMK13, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar disasarkan antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus setahun, diterajui oleh permintaan domestik, terutama penggunaan dan pelaburan swasta.
*Bagi menjayakan RMK13, pelaburan sebanyak RM611 bilion perlu disediakan.
*Sektor pendidikan menerima RM67 bilion, manakala sektor kesihatan diperuntukkan RM40 bilion.
*RM51 bilion diperuntukan untuk sektor keselamatan manakala sektor pentadbiran akan menerima RM17 bilion.
*Penambahbaikan tatakelola ditumpukan kepada tiga aspek iaitu menginstitusikan kerajaan yang cekap dan berkesan, menyediakan perkhidmatan berpaksikan rakyat serta memastikan kekuatan fiskal dan impak perbelanjaan negara sampai kepada golongan sasar.
*Kerajaan MADANI komited memperkukuh ekosistem tadbir urus melalui reformasi perundangan dan institusi termasuk Parlimen, pengukuhan mekanisme pemantauan dan penerapan nilai integriti.
*Pembaharuan menyeluruh akan dilaksanakan melalui penguatkuasaan Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 dengan keutamaan kepada usaha mengurangkan beban kawal selia
*MyDigital ID akan diperkenalkan sebagai kunci pengesahan identiti digital tunggal yang selamat dan sahih, bagi memudahkan akses kepada pelbagai kemudahan awam dalam talian.
*Melalui GovTech juga, sistem kehakiman negara termasuk Mahkamah Syariah akan ditambah baik.
*Penjawat awam akan diberikan latihan intensif dalam bidang digital dan AI bagi memperkasakan bakat digital negara dan memanfaatkan analitik data raya.
*95 peratus perkhidmatan Kerajaan Persekutuan dilaksanakan secara dalam talian sepenuhnya menjelang tahun 2030.
*Pendekatan berfokus dan usaha berterusan untuk pastikan Malaysia mencapai kedudukan 20 terbaik dunia dalam Online Service Index (UN e-Government Development Index) serta mengekalkan Kategori A dalam GovTech Maturity Index.
*Program MADANI Rakyat diteruskan sebagai medan untuk pemimpin turun padang bagi mendekati dan mendengar sendiri keluh kesah rakyat.
*Sesi libat urus Perdana Menteri melibatkan semua kerajaan Negeri termasuk yang berbeza haluan politik diteruskan.
*Inisiatif Kemudahan Rakyat diteruskan untuk membolehkan permohonan terus peruntukan bagi menambah baik infrastruktur asas di kawasan masing-masing.
*Ekosistem persaingan akan diperkukuh melalui rangka perundangan baharu berkaitan aktiviti rent-seeking bagi memastikan rentseekers dapat dibanteras secara lebih tegas dan berkesan.
*Reformasi fiskal akan diteruskan demi memastikan bantuan yang disalurkan benar-benar sampai kepada rakyat yang paling memerlukan.
*Aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai negara berpendapatan tinggi dan tergolong dalam 30 ekonomi utama dunia menjelang tahun 2030.
*Malaysia menetapkan hala tuju jelas untuk menerajui ekonomi Asia Tenggara dalam AI, teknologi digital dan industri tenaga boleh baharu.
*Penerapan inovasi teknologi tempatan akan diberi tumpuan bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi.
*Aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan, dan inovasi (RDCI) akan dipergiat bagi meningkatkan produk dan perkhidmatan berasaskan “Made by Malaysia”.
*Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2030 memacu pembangunan bakat tempatan, penyelidikan dan pengkomersialan teknologi bagi menyokong adaptasi AI secara meluas.
Jaringan 5G disasar mencapai 98 peratus liputan di kawasan berpenduduk dan perindustrian termasuk desa menjelang 2030, sasar hasilkan sekurang-kurangnya 5,000 usahawan digital.
*Strategi kepercayaan digital dan keselamatan data nasional akan dilancarkan untuk melindungi data peribadi, menangani ancaman siber serta memastikan keselamatan ekosistem dan kedaulatan digital negara.
*Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara, Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) serta Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia diberi keutamaan.
*Inisiatif Pengenalan Identiti Digital Perniagaan dan penggunaan digital twin menjadi ikhtiar penting dalam meningkatkan daya saing dan inovasi pemain industri.
*Literasi AI seawal peringkat rendah dilaksanakan, memperluas harta intelek tempatan, meningkatkan suntikan dana strategik dan menggalakkan kolaborasi rentas sektor.
*Inisiatif solar terapung hibrid hidro dan hab hidrogen hijau di Kenyir akan diperluas sebagai model tenaga hijau bersepadu, kerajaan pertimbang tenaga nuklear sebagai salah satu sumber tenaga bersih.
*Pembinaan loji waste-to-energy akan diperluas melalui kerjasama swasta untuk mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan.
*Pelan Transformasi Sektor Air 2040 (AIR2040) diteruskan, tumpuan kepada mempergiat pembangunan dan inovasi teknologi air tempatan yang cekap.
*Kerangka perundangan maritim negara akan disemak dan ditambah baik agar lebih relevan dan berdaya saing.
*Aktiviti penangkapan ikan secara tidak sah, tidak dilapor dan tidak dikawal akan dibanteras, manakala sistem tagal atau tagang diperluas sebagai amalan lestari.
*Tumpuan akan diberikan kepada inisiatif pembangunan zon pelaburan pelancongan (STIZ) khususnya di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Sarawak, pemangkin penciptaan produk pelancongan baharu.
*Inisiatif Warisan Kuala Lumpur akan dipulihara dan dipelihara, industri inap desa diperkasa bagi melebarkan limpahan ekonomi sehingga ke desa.
*Tahun Melawat Malaysia 2026 menjadi pemangkin penting ke arah mencapai sasaran sumbangan sektor pelancongan sebanyak 16 peratus kepada KDNK sepanjang tempoh RMK13.
*Kerajaan komited memacu pertumbuhan ekonomi jingga (creative industry) melalui industri kreatif digital yang berpotensi tinggi, Dana Padanan dan Dana Produksi Bersama akan dilaksanakan.
*Pembangunan bakat akan diperkukuh menerusi program industry bridging, peluasan inisiatif Train the Trainer serta pelaksanaan Junior Animator Apprenticeship - BERNAMA