PUTRAJAYA: Jemaah Menteri hari ini bersetuju untuk melaksanakan pemotongan gaji masing-masing sebanyak 20 peratus setiap bulan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata keputusan itu dilaksanakan atas semangat keprihatinan anggota Kabinet terhadap permasalahan yang dihadapi rakyat ketika ini.

Anwar berkata pemotongan gaji itu akan dilaksanakan kerajaan sehingga ekonomi negara kembali pulih.

“Kalau ekonomi pulih (dalam tempoh) tiga tahun, kita kaji semula lah... potong gaji ini memang tidak wajar, tetapi saya berterima kasih ke atas kesediaan mereka (Jemaah Menteri) melakukan sedikit pengorbanan.

“Ada orang kata Anwar patutlah dia tak ambil gaji Perdana Menteri kerana dia ambil gaji Menteri Kewangan, tak betul... gaji ini satu sahaja,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas pertama Kabinet Kerajaan Perpaduan di sini hari ini.

Sidang media berkenaan turut dihadiri kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Mengenai kritikan pihak tertentu terhadap barisan Kabinetnya, Anwar berkata beliau yakin dan percaya pasukan Kabinetnya bertekad untuk memastikan mereka mematuhi peraturan yang ketat dan prinsip tadbir urus yang baik.

“Kami berazam, saya telah jelaskan dan menteri pun jelas. Isu tadbir urus yang baik dan antirasuah, tiada kompromi mengenainya dan jika ia datang daripada beberapa pemimpin dan saya tahu siapa yang bercakap tentang ‘kleptokrasi’... boleh saya ambil peluang ini untuk menjelaskan, ‘kleptokrasi’ bermaksud sistem... yang membolehkan pemimpin untuk mencuri.

“Sekarang mereka yang telah mengatakan ini, tidak seharusnya terhad kepada mana-mana orang tertentu, sistemnya... dan menarik bahawa mereka yang telah menggunakan ‘kleptokrasi’ ini sendiri sangat berkompromi dalam banyak urusan besar ini yang menguntungkan anak, menantu mereka.

“Perlu saya mengingatkan mereka bahawa jika anda benar-benar mahu menyelesaikannya, anda mesti bersedia untuk benar-benar telus dan benar-benar disiasat. Siasatan tidak boleh selektif dan itu pendirian kita,“ katanya.

Sementara itu, Anwar berkata dasar baik yang dilaksanakan kerajaan terdahulu akan tetap diteruskan oleh Kerajaan Perpaduan.

“Perjanjian baik, kontrak yang baik tak ada masalah... kita akan ikut... ini bukan kerajaan yang baharu tubuh, ini kerajaan yang meneruskan sistem yang ada cuma kita lebih tegas dalam buat perubahan.

“Kalau jelas umpamanya tender puluh bilion tidak ikut perolehan atau pun projek yang diluluskan puluhan bilion atau ratusan bilion tak ikut tender, tak ikut proses tentu kita harus teliti semula... ini bukan wang saya, ini wang rakyat,” katanya.

Mengenai rang undang-undang yang tertangguh di Parlimen sebelum ini termasuk rang undang-undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022, Anwar berkata ia akan diteliti semula oleh Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi Datuk Seri Azalina Othman Said.

“Beliau akan bawa kepada Jemaah Menteri dan keputusannya harus dibuat oleh Jemaah Menteri. Tapi kalau cadangan undang-undang itu baik termasuk dari kerajaan Barisan Nasional atau Perikatan Nasional, kita teruskan, bukan jadi masalah,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata beliau turut menjelaskan kronologi mengenai pembentukan kerajaan perpaduan kepada ahli Kabinet untuk mengelakkan tohmahan dan kekeliruan tentang fakta.

“Saya rasa sudah sampai ketikanya untuk menerima kenyataan ini dan jangan pertikai kuasa dan wewenang serta kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong. Ini bagaimanapun tidak menghalang usaha-usaha lain mengikut jalur Parlimen dan demokrasi untuk menolak dan sebagainya, tetapi untuk mempertikai keabsahan, tidak sesuai,“ katanya.

Mengenai pelantikan Ahmad Zahid, Anwar berkata ia adalah hak sesiapa sahaja untuk pertikai, namun pelantikan itu telah dibuat mengambil kira pelbagai faktor.

“Dia (Ahmad Zahid) didakwa, tetapi belum ada hukuman dan proses itu kita harus hormati, dia kebetulan juga Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional dan dalam kerajaan perpaduan ini, saya harus ambil kira semua faktor itu.

“Tetapi yang saya musykil dan ini bukan saya suarakan (hanya) sekarang, tetapi secara konsisten bertahun-tahun. Orang yang menjerit soal rasuah itu harus bersih. Dia tidak boleh jerit rasuah tetapi dia ambil projek ratusan juta,“ katanya. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image