• 2025-07-21 09:02 PM

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) perlu memperkukuh penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat serta kecekapan operasi jabatan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, integrasi AI dalam JIM akan meningkatkan produktiviti dan kutipan hasil negara.

“Sebelum ini, JIM tidak mengguna pakai AI tetapi sekarang JIM telah guna pakai AI dan hukumnya apa? Yang pertama, produktiviti mesti meningkat. Kedua, sistem penyampaian lebih pantas dan ketiga, kalau ia terkait dengan kutipan hasil, kutipan hasil juga meningkat,“ katanya semasa merasmikan sambutan Hari Imigresen ke-103 bertemakan ‘AI menerajui reformasi Imigresen’ di Putrajaya hari ini.

Saifuddin turut mencadangkan JIM menghantar pegawai mengikuti kursus AI di universiti tempatan bagi meningkatkan kemahiran.

“Beri mereka pelepasan untuk satu atau dua minggu dan perkenalkan dengan pengetahuan tentang AI. Asah kemahiran untuk menggunakan peralatan AI yang sedang berkembang dengan pantas saban hari,“ ujarnya.

Beliau turut menekankan pentingnya pendekatan berasaskan rakyat dalam perkhidmatan JIM selaras dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Pendekatan kita mesti berasaskan rakyat, kerana itu kalau perlu, kita laksanakan penambahbaikan terhadap prosedur dan permudahkan,“ katanya.

Selain itu, Saifuddin menegaskan komitmen JIM terhadap integriti dengan dasar toleransi sifar terhadap rasuah dan salah laku.

“Saya berharap JIM dapat berikan komitmen sepenuhnya dalam aspek integriti kerana ini menjadi tunjang utama perkhidmatan. Bila mana wujud pelaporan salah laku, tindakan mesti pantas,“ tegasnya.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban. - Bernama