KUALA LUMPUR: Pentas Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-20 menampilkan kelainan apabila menyaksikan beberapa gandingan adik-beradik beraksi dalam acara badminton beregu wanita.

Saingan suku akhir hari ini menyaksikan Kasturi-Venosha Radhakrishnan dari Selangor menewaskan wakil legasi Saha dari Perlis, Dylyvya Saha-Dyvylyn Saha Davincy Saha 21-19, 19-21, 21-13 dalam pertembungan di Arena Axiata hari ini.

Kasturi, 21, dan Venosha, 20, yang menjalani latihan di bawah New Vision Badminton Academy pernah muncul juara kejohanan Antarabangsa Uganda 2022 serta naib juara antarabangsa Cameroon dan Bangladesh, kini menyasarkan untuk meraih pingat emas Sukma bagi mengukuhkan lagi pencapaian mereka.

“Pada set kedua, kami tidak mempunyai pelan bagaimana untuk mengawal permainan. Namun, ketika set penentuan, kami cuba menjarakkan jurang dan apabila tukar gelanggang, kami sudah ada idea untuk kawal permainan.

“Kami sangat mahukan pingat emas ini kerana Sukma adalah kejohanan berprestij tempatan untuk bakat baharu. Ini akan meningkatkan profil kami apabila kami ke kejohanan luar dan membantu kami mendapatkan dana,” katanya Venosha kepada Bernama.

Gandingan adik-beradik menjalani latihan yang dibiayai oleh bapa mereka, seorang pesara pegawai Kastam Diraja Malaysia dan bekas pelajar tuisyennya.

“Kami bermula ketika saya berusia 6 tahun, kami bersama-sama empat abang berlatih untuk kejohanan peringkat sekolah, tetapi akhirnya mereka menumpukan perhatian kepada bola sepak dan futsal. Pada mulanya, kami bermain tanpa sebarang sasaran besar, tapi apabila kami terpilih ke dalam pasukan Selangor, ia menyemarakkan semangat kami untuk berjaya.

“Bapa saya, pemain ragbi kebangsaan dan terlibat dalam olahraga, sangat mahukan kami terlibat dalam badminton. Saya lebih kepada beregu, manakala Kasturi pula perseorangan, pernah memenangi beberapa kejuaraan antarabangsa Cameroon,” katanya.

Selepas Sukma, Kasturi-Venosha akan menyertai Terbuka Vietnam minggu depan, diikuti Cabaran Antarabangsa Indonesia pada 11-16 Okt dan Masters Indonesia pada 18-23 Okt.

Kasturi-Venosha akan berdepan satu lagi gandingan adik-beradik dari Kedah Cheng Su Hui-Cheng Su Yin dalam saingan separuh akhir esok.

Wakil Kedah itu berjaya menewaskan adik-beradik dari Sarawak Felicia Fong Xin Hui-Flora Fong Xin Jie 21-19, 14-21, 21-12. - Bernama