• 2025-07-30 02:20 PM

PUTRAJAYA: Semua kementerian, agensi dan pejabat kerajaan diwajibkan memainkan lagu tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 bertajuk “Malaysia MADANI Rakyat Disantuni”.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata langkah itu sebagai usaha bersama untuk menyemarakkan semangat Bulan Kebangsaan.

Beliau yang jurucakap Kerajaan MADANI berkata lagu berirama Malaysia ciptaan Datuk Mokhzani Ismail serta gubahan muzik oleh komposer muda Affan Mazlan, dinyanyikan biduanita negara Datuk Seri Siti Nurhaliza sangat catchy, merdu dan sedap didengar.

“Saya rasa lagu tema tahun ini sangat-sangat magical, benar-benar luar biasa. Lagu ini juga mendapat perhatian dan pujian daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri, yang menyatakan bahawa lagu ini ‘sangat-sangat best’,“ katanya pada majlis perhimpunan bulanan Kementerian Komunikasi di sini hari ini.

Lagu tema HKHM 2025 itu diperkenalkan secara rasmi buat kali pertama pada majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 yang berlangsung di Dataran Tanjung Emas, Muar, Johor, Ahad lepas.

Selain itu, Fahmi berkata fokus utama Kementerian Komunikasi ketika ini adalah untuk memastikan semua aspek persiapan sambutan HKHM berjalan lancar termasuk daripada segi aktiviti lapangan, keselamatan, penyiaran dan persembahan rasmi.

Beliau menyeru agar warga Kementerian Komunikasi dan agensi di bawahnya untuk menyemarakkan semangat Bulan Kebangsaan dengan memainkan peranan komunikasi efektif.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.

Selain itu, Fahmi meminta Radio Televisyen Malaysia (RTM), Bernama dan stesen penyiaran lain memainkan lagu tema HKHM sebelum dan selepas berita utama serta dalam video-video promosi bagi menghidupkan suasana dan menyemarakkan semangat patriotisme sepanjang Bulan Kebangsaan.

“Saya minta supaya di kementerian ini, lagu tema dimainkan sama ada di lobi atau sebagai lagu latar di acara-acara rasmi.

“Kita juga akan sampaikan cadangan ini kepada pihak Jabatan Perdana Menteri (JPM) supaya lagu ini dimainkan dalam semua majlis rasmi yang melibatkan kehadiran Perdana Menteri sepanjang Bulan Kebangsaan. Perkara ini akan kita bincangkan lanjut bersama JPM,“ katanya.

Mengenai persiapan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, Fahmi berkata pihaknya sedang menangani isu-isu kesalinghubungan, aspek keselamatan dan kawalan trafik di lokasi sambutan.

“Banyak persiapan sedang berjalan dan setakat ini saya berpuas hati. Kita juga sedang merancang beberapa elemen gimik istimewa untuk kedua-dua sambutan ini,“ katanya.

Sambutan Hari Kebangsaan 2025 akan diadakan di Putrajaya pada 31 Ogos ini, manakala Hari Malaysia 2025 diadakan di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth, Pulau Pinang pada 16 Sept. - Bernama