KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mempergiat usaha mempupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat tanpa mengira latar belakang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata usaha tersebut selaras dengan konsep Malaysia Madani seperti yang diaspirasikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita akan perhebatkan usaha dan program untuk memupuk semangat kesatuan, perpaduan dan kesejahteraan dalam kalangan rakyat Malaysia,“ katanya pada majlis Jamuan Muhibah Tahun Baharu Cina anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di Pusat Belia Antarabangsa, di sini hari ini.

Jamuan yang diadakan sempena sambutan Chap Goh Mei itu turut dihadir isteri Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Mengenai majlis itu, Mohd Nai’im berkata program menyantuni rakyat tanpa mengira latar belakang, agama dan bangsa seperti itu menjadi bukti manifestasi konsep Malaysia Madani.

Terdahulu, lebih 500 tetamu yang terdiri daripada 200 keluarga komuniti Cina termasuk 100 orang mualaf menghadiri program yang bertujuan mendekatkan YADIM dengan masyarakat khususnya daripada komuniti berkenaan.

Selain jamuan makan, tetamu turut dihiburkan dengan persembahan tarian singa, pemeriksaan kesihatan percuma, jualan buku serta pameran.

Sempena program itu, YADIM turut mengadakan Jualan Rahmah yang menawarkan pelbagai barangan keperluan harian pada harga berpatutan untuk penduduk sekitar Parlimen Bandar Tun Razak. - Bernama