• 2025-10-10 05:35 PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM419.2 bilion untuk Belanjawan 2026 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan menyampaikan belanjawan tersebut di Parlimen pada petang Jumaat.

Daripada jumlah peruntukan itu, RM338.2 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus manakala baki RM81 bilion adalah untuk perbelanjaan pembangunan.

Belanjawan yang mengangkat tema ‘Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat’ ini merupakan edisi keempat dalam siri Belanjawan MADANI.

Ia juga merupakan belanjawan pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 yang meliputi tempoh 2026 hingga 2030.

Anwar menegaskan komitmen kerajaan terhadap Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 akan dikekalkan.

“Momentum pertumbuhan terus didukung dasar fiskal yang mengembang,” katanya.

Belanjawan 2026 akan mengumpul dan mengoptimumkan sumber negara termasuk dana syarikat pelaburan berkaitan kerajaan.

Pelaburan turut melibatkan badan berkanun Persekutuan dan syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan.

Perbelanjaan awam dijangka berjumlah RM470 bilion berbanding RM452 bilion pada tahun sebelumnya.

Angka tersebut merangkumi RM338.2 bilion belanja mengurus Persekutuan dan RM81 bilion belanja pembangunan Persekutuan.

Pelaburan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan dianggarkan RM30 bilion manakala pelaburan awam-swasta sebanyak RM10 bilion.

Pelaburan badan berkanun Persekutuan dan syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan pula berjumlah RM10.8 bilion.

Dalam hantaran di laman sosialnya, Anwar menyatakan belanjawan ini bukan sekadar angka dan perbelanjaan.

Ia juga merupakan hala tuju untuk memastikan kerajaan terus membantu rakyat.

Bantuan tersebut dilaksanakan tanpa menambah beban hutang negara.

Kementerian Kewangan mengeluarkan laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2026 hari ini.

Kerajaan telah menyemak jumlah perbelanjaan 2025 kepada RM412.1 bilion.

Jumlah ini berkurangan daripada peruntukan yang diluluskan menerusi Belanjawan 2025 sebanyak RM421 bilion. – Bernama