• 2025-10-16 08:52 PM

PUTRAJAYA: Bantuan dan peruntukan kerajaan kepada pasukan bola sepak kebangsaan tidak akan dihentikan kerana masih banyak pemain tempatan yang mewakili skuad Harimau Malaya di pentas antarabangsa.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menegaskan pihaknya akan terus menyokong skuad kebangsaan meskipun Persatuan Bolasepak Malaysia sedang berdepan isu penggantungan tujuh pemain warisan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa.

Beliau menjelaskan keputusan penggantungan sekarang adalah terhadap tujuh pemain berkenaan tetapi ramai terlupa pasukan Harimau Malaya masih mempunyai pemain-pemain tempatan.

“Seperti semasa lawan dengan Laos, masih ada Faisal Halim, Arif Aiman dan lain-lain,“ katanya selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada Kontinjen Malaysia ke Sukan Remaja Asia 2025 di Bahrain dan Sukan Perpaduan Islam 2025 di Arab Saudi.

“Takkan kita tak nak bantu pemain bola sepak tempatan yang masih bermain untuk pasukan Malaysia,“ tambahnya.

Yeoh menegaskan selagi masih ada pasukan dan pemain tempatan yang memerlukan sokongan, selagi itu kerajaan akan berusaha membantu mereka.

Temasya Sukan Remaja Asia 2025 akan berlangsung dari 22 hingga 31 Oktober dengan penyertaan 120 atlet negara dalam 17 acara sukan.

Sukan Perpaduan Islam 2025 dijadualkan berlangsung dari 7 hingga 21 November dengan 17 atlet kebangsaan bakal bersaing dalam lima acara sukan.

Dalam perkembangan sama, Yeoh menjelaskan pihaknya kekal dengan pendirian untuk menunggu keputusan penuh FIFA sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai isu berkenaan.

Bulan lepas, FAM dan tujuh pemain warisan negara dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Perkara 22 Kod Tatatertib FIFA berkaitan pemalsuan dokumen.

FIFA memaklumkan FAM telah menyerahkan dokumen palsu bagi mengesahkan kelayakan pemain berkenaan yang membolehkan mereka beraksi dalam perlawanan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun.

Sehubungan itu, FAM dikenakan denda 350,000 franc Switzerland atau kira-kira RM1.8 juta.

Setiap pemain didenda 2,000 franc Switzerland atau kira-kira RM10,560 serta digantung 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak.

Pemangku Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi dilaporkan berkata FAM telah memfailkan rayuan rasmi kepada FIFA berhubung keputusan tatatertib isu dokumentasi kelayakan tujuh pemain kebangsaan.

Beliau berkata pihaknya bertindak pantas setelah menerima penghakiman penuh FIFA pada 7 Oktober lepas dengan pasukan perundangan FAM menyiapkan segala dokumen untuk diserahkan sebelum tarikh akhir. – Bernama