KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) mengarahkan kerajaan negeri untuk melakukan kerja pembaikan kualiti turapan dengan segera di lokasi kemalangan yang meragut nyawa seorang penunggang basikal warga Singapura di Jalan Gunung Pulai, Kulai, semalam.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kerosakan pada permukaan jalan berbentuk retakan crocodile cracks di kawasan berkenaan, dipercayai berpunca daripada penggunaan kerap oleh kenderaan berat khususnya lori dari kawasan kuari berdekatan.
Beliau berkata walaupun kerja menaik taraf bahu jalan melalui proses grading (meratakan jalan) telah dilaksanakan awal tahun ini, namun kesan beban berlebihan menyebabkan kerosakan kembali berlaku dengan cepat.
“Saya telah berhubung dengan pihak berkenaan di negeri supaya kerja pembaikan kualiti pavemen (turapan) di kawasan terbabit dilaksanakan serta-merta menerusi kaedah R01 (tampalan), termasuk kerja grading semula bahu jalan sebagai langkah awal dan segera yang akan diikuti dengan pembaikan secara menyeluruh sebaik sahaja peruntukan diterima,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Nanta turut menyeru semua pihak yang menguruskan penyenggaraan jalan, pengguna jalan raya dan komuniti setempat untuk bekerjasama dalam memastikan jalan raya berkualiti, selamat serta selesa bagi mengurangkan kemalangan jalan raya.
Menerusi kenyataan sama, Nanta merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa.
“Kehilangan nyawa dan ahli keluarga tercinta dalam apa jua keadaan amat memilukan, apatah lagi ketika menjalankan aktiviti riadah yang seharusnya membawa kegembiraan serta manfaat kesihatan,” katanya.
Nanta turut menasihati penunggang basikal agar sentiasa mengutamakan keselamatan seperti mengelak jalan kerap dilalui kenderaan berat dan memastikan penggunaan kelengkapan keselamatan sentiasa dipatuhi.
Semalam, seorang warga Singapura berusia 42 tahun maut dipercayai terjatuh selepas basikal ditunggangnya melanggar lubang, sebelum digilis sebuah treler di Jalan Gunung Pulai pada 9.45 pagi.