SHAH ALAM: Situasi demam denggi di Selangor mencatatkan penurunan ketara pada Minggu Epidemiologi ke-26 (ME26/2025) iaitu sebanyak 6.4 peratus atau 27 kes berbanding ME sebelumnya.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar negeri Jamaliah Jamaludin berkata berdasarkan data diperoleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) ME-26/2025 iaitu antara 22 hingga 28 Jun, negeri itu merekodkan sebanyak 398 kes denggi.
“Kumulatif kes demam denggi di Selangor setakat ini mencatatkan 13,275 kes, penurunan sebanyak 65.9 peratus atau 25,645 kes berbanding tempoh sama iaitu 38,920 kes pada 2024.
“Dalam tempoh sama, jumlah lokaliti wabak aktif juga menunjukkan penurunan kepada 135 lokaliti, berbanding 156 pada ME 25/2025 iaitu pengurangan sebanyak 13.46 peratus,“ katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata tiga daerah yang masih mencatatkan bilangan lokaliti wabak aktif tertinggi ialah Petaling dengan 57 kes, diikuti Hulu Langat (34) dan Klang (28), namun ketiga-tiga daerah mencatat penurunan berbanding minggu sebelumnya.
“Hanya enam lokaliti wabak aktif dilaporkan di Gombak, Kuala Selangor (5), Kuala Langat (4) dan Hulu Selangor (1). Tiada lokaliti wabak aktif direkodkan di Sepang dan Sabak Bernam,“ katanya.
Beliau berkata trend positif itu turut ditunjukkan menerusi pengurangan kes kematian berkaitan denggi, iaitu empat kes tahun ini berbanding 12 kes sehingga tempoh yang sama pada 2024.
Penurunan ketara itu, katanya sekali gus membuktikan pelaksanaan langkah-langkah intervensi dan pengawalan berterusan oleh pelbagai pihak khususnya JKNS, pihak berkuasa tempatan, agensi berkaitan serta penglibatan komuniti setempat telah membuahkan hasil positif.
“Ia juga mencerminkan keberkesanan pelaksanaan aktiviti kawalan dan pencegahan denggi secara konsisten di semua peringkat termasuk tindakan penguatkuasaan, pendidikan kesihatan, kerja-kerja cari dan musnah tempat pembiakan Aedes, serta penglibatan komuniti dalam aktiviti gotong-royong,“ katanya.
Jamaliah bagaimanapun menasihatkan semua pihak agar tidak leka dan terus aktif melakukan langkah-langkah pencegahan secara berterusan, meningkatkan kesedaran masyarakat, serta memastikan setiap individu memainkan peranan aktif dalam membasmi penularan wabak denggi demi kesejahteraan bersama.