KUALA LUMPUR: Kestabilan politik menjadi pemangkin utama kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif “penghargaan untuk rakyat” yang diumumkan Kerajaan MADANI baru-baru ini. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kejayaan kerajaan mencapai kestabilan politik membolehkan dasar menyeluruh seperti ini dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Kejayaan Kerajaan MADANI dalam mengecapi kestabilan politik merupakan pendorong utama yang membolehkan dasar menyeluruh sebegini dapat dilaksanakan,“ katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Azalina menegaskan bahawa langkah-langkah seperti bantuan sekali guna RM100 melalui MyKad di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA), penangguhan kenaikan kadar tol, dan penurunan harga RON95 kepada RM1.99 seliter, adalah bukti komitmen kerajaan untuk memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Beliau turut menyeru semua pihak mengekalkan kesepakatan dan perpaduan demi memperkukuh tadbir urus negara. “Ini dapat dikecapi susulan implementasi dasar dan program MADANI ke arah tadbir urus dan tatakelola yang baik serta berintegriti,“ jelasnya.
Sebelum itu, Azalina menghadiri Mesyuarat Mingguan Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. Turut hadir kedua-dua Timbalan Perdana Menteri serta barisan menteri lain. - Bernama