the sun malaysia ipaper logo 150x150
Friday, February 6, 2026
21.3 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

KPTM Gua Musang dibuka semula, fokus kursus berasaskan industri – TPM Ahmad Zahid

GUA MUSANG: Pusat Pendidikan Tinggi Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) di Gua Musang yang ditutup sejak 2019, bakal dibuka semula dengan penawaran kursus yang lebih relevan dan berdaya saing mengikut keperluan industri, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata arahan untuk membuka semula KPTM itu, diberikan selepas mengambil kira keperluan pendidikan tinggi di kawasan luar bandar khususnya di Gua Musang dan seluruh Kelantan.

“Saya telah mengarahkan KPTM ini dibuka semula dan kursus-kursus yang ditawarkan akan disesuaikan dengan kebolehpasaran graduan. Fokus diberikan kepada pelajar-pelajar di sekitar Gua Musang dan Kelantan, untuk mengikuti kursus-kursus yang memenuhi permintaan pasaran kerja.

“Antara bidang yang akan ditawarkan termasuk kursus berkaitan robotik, Internet of Things (IoT), automotif serta program-program lain yang mendapat permintaan tinggi daripada industri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyerahan Bantuan Program Perumahan Rakyat Sejahtera dan Majlis Hari Raya Aidilfitri Kesedar di Dataran Awam Kampung Jerek, di sini, hari ini.

“Selain itu, kita akan membuat padanan dengan pemain industri di dalam dan luar Kelantan, supaya pelajar yang menamatkan pengajian berpeluang mendapat tawaran pekerjaan sebaik sahaja tamat kursus, sebagaimana pendekatan yang kita laksanakan di institusi TVET lain,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata KPTM Gua Musang, sebelum ini ditutup pada 2019 akibat kekurangan pelajar yang berpunca daripada isu pembiayaan dan ketidaksesuaian kursus yang ditawarkan ketika itu.

Beliau turut memaklumkan bahawa kerja-kerja awal pemulihan KPTM Gua Musang akan bermula Mei ini, selepas perbincangan dengan Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

“Lokasi pemulihan ini juga akan mengambil kira nasihat pengurusan KESEDAR, supaya pembangunan semula lebih teratur dan memenuhi keperluan penduduk setempat,” katanya.

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories