KUALA LUMPUR: Sebanyak 10,039 unit lampu jalan telah dipasang di lokasi strategik sepanjang jajaran Lebuhraya Pan Borneo Sarawak bagi memastikan keselamatan pengguna berada pada tahap tertinggi.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan menyatakan lampu tersebut dipasang di simpang utama, lokasi pusingan P dan jejambat selaras dengan saranan audit keselamatan jalan.
Beliau menegaskan kerajaan tidak berkompromi dalam aspek keselamatan dengan menambah ciri perlindungan tambahan termasuk pemasangan pemantul cahaya dan penghadang jalan di kawasan belum dilengkapi lampu.
“Kiraan untuk lampu jalan ialah setiap 30 meter satu batang mengikut standard Jabatan Kerja Raya,” jelas Ahmad Maslan ketika sesi soal jawab di Dewan Negara.
Untuk keseluruhan 786 kilometer lebuh raya, sebanyak 52,400 lampu jalan diperlukan dengan kos setengah bilion ringgit jika menggunakan lampu solar.
Menjawab soalan tambahan, beliau memaklumkan dua kawasan rehat dan rawat sudah siap dengan sebuah lagi dalam perancangan.
Tiga hentian sebelah telah siap dan dua lagi dalam perancangan untuk memastikan kemudahan mencukupi bagi pengguna lebuh raya. – Bernama