KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga New Zealand kehilangan pelbagai barangannya yang dianggarkan bernilai kira-kira RM320,000, setelah rumah banglo tiga tingkatnya di Jalan Bukit Pantai, dekat sini yang ditinggalkan hampir sebulan, dipecah masuk.

Kejadian itu disedari lelaki berusia 68 tahun itu selepas pulang bercuti dari New Zealand, Khamis lepas.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Roslan Bek Ahmad yang mengesahkan kes itu berkata polis telah mengambil beberapa cap jari di lokasi kejadian, dan hasil siasatan berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun.

“Suspek ditahan ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Baru, jam 5.30 petang, Selasa lalu.

“Suspek yang merupakan peniaga barangan lusuh ini telah menemukan pihak polis dengan sejumlah barangan milik mangsa, antaranya sebuah laptop, basikal senaman elektronik, dan alat pengimbas yang dianggarkan bernilai RM140,000,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Roslan Bek berkata, suspek mencuri pelbagai barangan termasuk perkakas elektronik milik mangsa, yang bekerja di sebuah syarikat swasta, secara beransur-ansur selama dua minggu.

“Suspek dipercayai buat kerja (pecah rumah) ini secara berseorangan. Dia punggah sedikit-sedikit dan membawa barangan tersebut menaiki motosikal, untuk ke pasar karat bagi dijual secara murah,” katanya.

Tambahnya, suspek juga mempunyai empat rekod jenayah lampau iaitu, dua kesalahan di bawah Seksyen 457 dan Seksyen 458 kerana pecah rumah dan empat rekod melibatkan dadah.

“Suspek yang positif ujian air kencing kini direman sehingga 12 Ogos (Isnin) bermula semalam, dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan, iaitu pecah rumah. Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda dan penjara tidak lebih lima tahun,” jelasnya.

Sehubungan itu, Roslan Bek menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah keselamatan bagi mengelak kejadian pecah rumah, terutama dalam tempoh cuti panjang, dengan memaklumkan pihaknya melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP). — Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image