SEGAMAT: Walaupun banjir belum pulih sepenuhnya, sebahagian penghuni pusat pemindahan sementara (PPS) di Labis, di sini, mengambil kesempatan cuaca yang baik pada hari ini untuk membersihkan kediaman mereka.

Mangsa banjir di Kampung Tenang, Shahrul Nizam Hassan, 34, berkata adalah lebih baik dia berbuat demikian sebelum lumpur dan selut kesan banjir mengeras di dalam rumahnya.

“Sementara cuaca yang tidak panas dan tidak hujan ini, eloklah saya cuci dulu apa yang patut. Tak elok juga jika dibiarkan rumah kotor untuk beberapa hari selepas air surut.

“Lagipun, tidak banyak sangat yang perlu dibersihkan sebab ketika air mula naik Selasa lepas, saya sempat alihkan beberapa perabot dan barangan elektrik ke tempat yang lebih tinggi,“ katanya yang ditemui Bernama di kediamannya hari ini.

Shahrul Nizam dan keluarga berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan Sungai Tenang selama dua hari, sebelum pulang untuk membersihkan rumahnya.

“Jika air melimpah lagi, kami akan kembali semula ke PPS,“ katanya yang memberitahu banjir kali ini agak teruk ekoran sampah yang tersangkut di jambatan di hadapan rumahnya menyebabkan air melimpah lebih cepat.

Sementara itu, di Kampung Paya Merah Lama, Faridah Musa, 50, bersyukur banjir kali ini tidak menyebabkan bekalan air terputus sekali gus memudahkan kerja pembersihan rumah dilakukan.

“Mujurlah cuti Tahun Baharu Cina kali ini, anak-anak dapat balik ke kampung. Mereka yang banyak membantu saya dan suami membersihkan rumah hari ini. Semasa air mula naik Selasa lepas, barangan elektrik sempat kami simpan atas lori milik suami.

“Memandangkan belum ada keputusan rasmi dibenarkan balik ke rumah masing-masing, jadi kami biarkan dulu di situ. Insya-Allah selamat,“ katanya yang menginap di PPS Dewan Serbaguna Kampung Paya Merah, di sini sekeluarga.

Semalam, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dilaporkan berkata mangsa banjir boleh menghubungi sukarelawan Southern Volunteers sekiranya memerlukan bantuan khidmat pembersihan rumah pascabanjir. - Bernama