KOTA BHARU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia mengingatkan komuniti nelayan serta pengusaha bot di Kelantan supaya lebih berwaspada susulan Monsun Timur Laut yang semakin hampir.
Pengarah Maritim negeri Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata perubahan cuaca yang mendadak dan keadaan laut tidak menentu pada musim ini boleh mengundang bahaya.
Beliau menasihati semua pihak agar mengutamakan aspek keselamatan di laut termasuk sentiasa memakai jaket keselamatan.
Setiap kali keluar menangkap ikan pastikan ahli keluarga terdekat dimaklumkan mengenai lokasi dan jangka masa operasi.
Erwan Shah turut menyarankan agar nelayan mengamalkan konsep buddy system atau keluar sekurang-kurangnya berdua sebagai langkah berjaga-jaga.
Kehadiran rakan boleh membantu membuat laporan dengan segera sekiranya berlaku kejadian kecemasan di laut.
Pasukan penyelamat dapat melaksanakan operasi mencari dan menyelamat dengan cepat serta berkesan dengan maklumat awal yang diperoleh.
Mangsa yang menghadapi masalah di laut dapat dibantu dengan segera dan diselamatkan daripada sebarang musibah.
Erwan Shah berkata Maritim Malaysia akan terus memantau keadaan laut dari semasa ke semasa.
Mereka bersiap siaga melaksanakan operasi menyelamat pada bila-bila masa bagi memastikan keselamatan komuniti maritim di perairan Kelantan sentiasa terjamin. – Bernama







