KUANTAN, 15 Jun (Bernama) -- Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) melancarkan Tabung Sumbangan Khas untuk membantu waris dan penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) di Gerik, Perak.
UMPSA menerusi hantaran di laman Facebook memaklumkan pelancaran tabung berkenaan bertujuan memberi peluang kepada seluruh warga universiti itu serta orang ramai menghulurkan sumbangan.
UMPSA amat bersimpati dengan tragedi kemalangan di Gerik baru-baru ini yang meragut 15 nyawa penuntut UPSI dan menyebabkan puluhan yang lain cedera.
“Kami di UMPSA memahami betapa getirnya saat yang perlu dilalui oleh UPSI dan seluruh keluarga pelajar yang terlibat. Kami juga mendoakan agar mereka yang terlibat dalam kemalangan ini diberikan kesabaran, kekuatan dan kesembuhan segera.
“Hasil sumbangan ini akan disalurkan terus kepada mereka dalam masa terdekat. Semoga segala sumbangan dan keprihatinan kita semua diberkati Allah SWT,“ menurut hantaran itu.
UMPSA memaklumkan orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh melakukan menerusi https://infaqpay.my/plus/mangsa-kemalangan-bas-upsi-umpsa.
Sebelum ini, UMPSA telah menghantar 2,000 pek makanan ke UPSI bagi menyantuni petugas dan keluarga mangsa pada hari kemalangan itu berlaku.
Pada awal pagi 9 Jun, 15 penuntut UPSI maut apabila bas sewa khas yang membawa mereka dari Jertih, Terengganu ke kampus utama Tanjung Malim, Perak terlibat dalam kemalangan dengan sebuah Perodua Alza di JRTB.
Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV) itu.