NEW DELHI: Pakistan akan menghantar 200 tan bantuan kemanusiaan baharu ke Gaza ketika Israel terus mengenakan sekatan makanan ke atas penduduk Palestin. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggambarkan keadaan ini sebagai “senario kebuluran terburuk abad ini.”
Timbalan Perdana Menteri Pakistan Ishaq Dar mengumumkan bahawa Perdana Menteri Shehbaz Sharif telah meluluskan penghantaran dua konsainan makanan dan bekalan penting ke Gaza. “Situasi makanan di Gaza amat menyayat hati. Penduduk, terutamanya wanita dan kanak-kanak, mati akibat kelaparan,“ kata Dar menerusi hantaran di X.
Dar, yang baru sahaja menghadiri sesi Majlis Keselamatan PBB, turut membincangkan krisis di Gaza dengan Shehbaz. “Gaza kini di ambang kebuluran. Masyarakat antarabangsa mesti bertindak segera untuk memastikan akses bantuan tanpa halangan,“ tegasnya.
Pakar keselamatan makanan PBB melaporkan bahawa dua daripada tiga ambang kebuluran telah dicapai di Gaza, iaitu penurunan pengambilan makanan dan kekurangan zat akut. “Ini malapetaka yang berlaku di depan mata kita,“ kata Pengarah Kecemasan WFP, Ross Smith.
Beberapa negara telah menggugurkan bantuan dari udara, tetapi tindakan itu dikritik sebagai “gangguan” yang membolehkan Israel teruskan sekatan dan serangan ke atas Gaza. - Bernama