SEPANG: Pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Warisan di sini adalah atas dasar tanggungjawab Kementerian Pendidikan (KPM) yang meneliti keperluan pembinaan sekolah baharu setelah mengambil kira aspek kepadatan penduduk di sesuatu kawasan, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

“Rekod prestasi kami di KPM, PRU (Pilihan Raya Umum) atau tidak, bila kita melihat satu keadaan yang memerlukan penelitian segera, kami bangkitkan,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek pembinaan SMK Kota Warisan itu hari ini, serta menafikan andaian tujuan pembinaan sekolah itu sebagai ‘gula-gula’ pilihan raya.

Radzi turut memberi contoh pembinaan SMK Bandar Saujana Putra di Kuala Langat yang terbengkalai sekian lama, namun selepas campur tangan KPM akhirnya sekolah itu mula beroperasi Mac lepas.

Menurut Radzi, kawasan Kota Warisan di Sepang telah mula didiami penduduk sekitar 2001, namun sekolah menengah yang terdekat ialah SMK Dengkil dengan jarak lapan kilometer (km) dan SMK Seri Sepang pula sejauh 10km.

“Jadi projek yang kita buat ini mengambil kira pembinaan dan pembukaan kawasan baharu di sini dan jumlah penduduk yang akan meneruskan pendidikan di peringkat menengah akan meningkat.

“Ini tentunya berita baik untuk mereka di Sepang dan Kota Warisan kerana sebelum ini jarak untuk mereka hantar anak ke sekolah agak jauh dan sekolah yang sedia ada telahpun padat,” katanya.

Pembinaan SMK Kota Warisan dengan keluasan 4.85 hektar akan dimulakan selepas surat setuju terima (SST) diselesaikan awal Disember ini dan disiapkan sepenuhnya pada September 2025. Sekolah itu akan mempunyai 42 bilik darjah untuk menempatkan 30 hingga 35 pelajar, serta turut mempunyai padang dan gelanggang sukan.

Radzi berkata SMK Kota Warisan juga akan mempunyai bangunan khas untuk pelajar berkeperluan khas. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image