• 2025-07-28 02:40 PM

PUTRAJAYA: Penduduk di sekitar Putrajaya diingatkan supaya tidak panik dengan bunyi tembakan meriam sempena Istiadat Perbarisan Sambutan Hari Pahlawan 2025 yang akan berlangsung di Dataran Pahlawan Negara pada 31 Julai ini.

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Aidi Sham Mohamed memaklumkan bahawa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan melepaskan 21 das tembakan meriam pada hari sambutan tersebut, manakala dua das tembakan akan dilepaskan semasa sesi raptai penuh pada hari sebelumnya.

“Penduduk sekitar dinasihatkan agar tidak panik apabila mendengar letupan meriam manakala kesesakan jalan raya dijangka berlaku dari 7 hingga 10 pagi. Justeru, pengguna dinasihatkan memberi kerjasama dan mematuhi isyarat polis bagi memastikan kelancaran istiadat perbarisan,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beberapa laluan utama dijangka mengalami kesesakan sepanjang acara berlangsung, termasuk Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Lebuh Perdana Timur, dan laluan sekitar Kompleks E. Orang ramai disarankan merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesulitan.

Hari Pahlawan disambut pada 31 Julai setiap tahun bagi memperingati pengorbanan anggota keselamatan negara. Acara ini dianjurkan secara bergilir antara ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 1968 - Bernama