KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perbincangan Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) ketika ini mengenai rancangan tarif timbal balas Washington, telah berjalan dengan lancar.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata beliau telah dimaklumkan mengenai perkembangan positif itu oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang berada di AS ketika ini.
“Pagi ini, saya menerima mesej daripada menteri MITI dan menteri kewangan II memaklumkan bahawa pertemuan mereka dengan Setiausaha Perdagangan AS yang sememangnya sibuk, berlangsung dengan amat baik,” kata beliau ketika menyampaikan ucaptama pada Sidang Meja Bulat Asia-Pasifik (APR) ke-38 yang bertemakan Recalibrating Asia’s Frontiers di sini, hari ini.
Tengku Zafrul tiba di AS pada Selasa untuk memulakan rundingan mengenai tarif timbal balas itu menjelang tarikh akhir penangguhan selama 90 hari pada 8 Julai ini.
Malaysia pada masa ini berdepan tarif 24 peratus membabitkan eksport terpilih ke AS dan Tengku Zafrul berkata keutamaan delegasinya adalah membincangkan peningkatan akses pasaran serta menangani cabaran berkaitan rantaian bekalan.
Dalam pada itu, Anwar berkata Malaysia secara konsisten bergantung kepada alasan munasabah dan prinsip wajar dalam usaha mencapai sesuatu yang adil serta saksama dan menggesa kalangan negara anggota ASEAN untuk mengambil pendekatan sama.
Perdana Menteri juga menegaskan perdagangan antarabangsa perlu dikawal oleh peraturan yang telus serta kebolehjangkaan undang-undang, bukannya menerusi tindakan sepihak atau unilateral serta pendekatan ekonomi yang bersifat memaksa.
“Gangguan dalam perdagangan dan rantaian bekalan akan hanya memberi kesan buruk ke atas perniagaan dan menjejaskan pertumbuhan ekonomi, sekali gus merencatkan usaha memastikan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau berkata pelaksanaan tarif unilateral oleh AS itu juga menjadi satu cabaran signifikan kepada Malaysia dan rantau ini yang turut menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global.
“(Sehubungan itu) Malaysia akan terus melakukan libat urus secara konstruktif dengan AS, China, Kesatuan Eropah, India dan negara maju lain dalam mengetengahkan kepentingan negara.
“Tidak perlu meragui strategi Malaysia untuk kekal berkecuali yang juga satu kerangka berprinsip dan diwujudkan bagi memaksimumkan fleksibiliti strategik, mengekalkan autonomi dalam membuat satu-satu keputusan serta berinteraksi dengan semua rakan kongsi mengikut terma kita sendiri,” kata beliau.
Anwar turut berkongsi harapan Malaysia untuk menjalin kerjasama sebagai negara rakan perkumpulan BRICS dan meninjau saluran baharu bidang khusus kerjasama blok itu.
Perdana Menteri menyifatkan langkah BRICS menerusi penyertaan negara anggota dan negara rakan dari Timur Tengah, Asia Tenggara, Asia Tengah, Afrika dan Amerika Selatan sebagai inti pati sebenar dalam mengeratkan hubungan antara rantau.
“Ini menjadi peluang untuk membina kerjasama baharu dan memperbaharui hubungan sedia ada. Berbeza dengan pandangan sempit mengenai alasan beberapa negara Asia Tenggara melibatkan diri dengan BRICS, ia bukannya mengenai tindakan menyebelahi mana-mana pihak atau pun menjauhkan diri daripada Barat.
“Sebaliknya, ini menjadi manifestasi keupayaan untuk bertindak sendiri, autonomi serta kepercayaan terhadap kerjasama berterusan dalam menangani cabaran secara bersama,” kata Anwar.