• 2025-09-06 01:26 PM

KUALA NERUS: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu telah mengambil seramai 37 orang anak angkat berusia empat hingga 17 tahun sejak 2017 sehingga kini.

Pengarahnya Suhara Mustaffa berkata langkah itu bertujuan memastikan pendidikan dan kebajikan mereka terjaga sehingga berumur 17 tahun.

Berdasarkan statistik, seramai 25 anak angkat diambil melalui Pejabat Perkeso Negeri, 10 anak angkat dari Pejabat Satelit Perkeso Dungun manakala dua lagi dari Pejabat Perkeso Kemaman.

Kebanyakan anak angkat ini terdiri daripada kalangan yatim piatu yang dipilih kerana ibu bapa merupakan pencarum Perkeso serta menerima faedah pencen penakat atau faedah orang tanggungan.

Bantuan yang disediakan meliputi kelengkapan sekolah termasuk pakaian, kasut, beg dan peralatan lain pada setiap permulaan sesi persekolahan.

Kelengkapan persiapan Hari Raya turut diberikan dan sekiranya mereka memerlukan tuisyen atau bantuan tambahan lain, perkara itu juga boleh dipertimbangkan.

Program Tanggungjawab Sosial Korporat hari ini melibatkan 92 anak yatim berusia sembilan hingga 17 tahun dari Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Darul Akhyar Terengganu.

Program itu merangkumi sumbangan kipas siling baharu serta penganjuran Klinik Kerjaya oleh Sistem Insurans Pekerjaan di bawah inisiatif Lindung Kerjaya.

Aktiviti sembelihan ayam dan memasak secara bergotong-royong turut diadakan bersama anak-anak yatim sebelum menikmati juadah bersama sebagai usaha mengeratkan ukhuwah.

Penganjuran program itu turut disokong oleh sumbangan pelbagai pihak termasuk Wakalah Pusat Zakat Selangor, Ibu Pejabat Perkeso serta warga Perkeso sendiri yang menyumbangkan naskhah al-Quran dan wang tunai. – Bernama