• 2025-09-29 02:59 PM

MELAKA: Permukiman Menteri-Menteri Pelancongan ASEAN yang berlangsung sehari di Melaka hari ini membincangkan usaha mempertingkat kesalinghubungan di pintu masuk negara masing-masing.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata ia bertujuan mengelakkan kesesakan ketika berlakunya ketibaan jumlah pelancong yang agak ramai di pintu masuk negara sama ada menerusi darat, udara mahupun laut.

“(Sebagai contoh) macam Singapura dengan Malaysia, akan ada sistem kereta api pada masa akan datang yang hanya mengambil masa lima minit sahaja... (sama ada) dari Singapura ke Malaysia dan sebaliknya.

“Sistem Imigresen pun akan dipermudah... kita hanya akan ada satu sahaja pemeriksaan Imigresen antara kedua-dua negara,” katanya kepada pemberita selepas permukiman itu berakhir.

Beliau berkata turut dibincang ialah langkah menambah sistem autogate terutama di lapangan terbang masing-masing bagi mempertingkat kelajuan daftar masuk pelancong selain mempercepat proses pengambilan bagasi.

Mengulas mengenai monsun timur laut yang kerap berlaku pada hujung tahun, Shaharuddin berkata ia tidak begitu menjejaskan aktiviti pelancongan kerana terdapat aktiviti yang memerlukan keadaan cuaca sebegitu seperti meluncur ombak dan rainforest challenge - Bernama