PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa penjawat awam untuk meningkatkan prestasi selaras dengan kenaikan gaji yang bermula bulan ini, susulan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang berkuat kuasa semalam.
Beliau berkata prestasi cemerlang diperlukan memandangkan rakyat mengharapkan perkhidmatan yang lebih baik daripada sektor awam.
“Pelaksanaan SSPA bermula bulan ini, seperti yang dijanjikan. Tahniah kepada mereka yang menerima kenaikan gaji. Namun, seperti yang saya tekankan, kita setuju dengan ini (SSPA) kerana kita mengiktiraf dan menganggap ia wajar diberikan.
“Tetapi, saya hanya berharap agar saudara-saudara (penjawat awam) memastikan prestasi jauh lebih baik kerana rakyat menuntut perkhidmatan yang lebih berkualiti,“ katanya dalam perjumpaan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.