KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi komitmennya untuk terus mengambil tindakan terhadap pemimpin yang mengamalkan rasuah, walaupun sekiranya usaha itu tidak mendapat sokongan meluas.
“Apabila kita ambil tindakan terhadap pemimpin yang korup ini, bekas pemimpin mahupun pemimpin semasa, ahli perniagaan, pemimpin korporat, yang membazirkan berbilion ringgit, saya tidak nampak sebarang bentuk kemarahan, atau sokongan yang sepatutnya.
“Namun tak apa, saya teruskan dengan tugas saya tidak kira sama ada saya dapat sokongan umum atau tidak. Itu tugas saya dan saya akan laksanakan ia sedaya upaya bagi memastikan kita banteras rasuah yang sudah jadi endemik di negara ini,” katanya semasa merasmikan majlis kemuncak sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj merangkap Pengarah Projek HAWANA 2025 dan barisan pengurusan tertinggi syarikat-syarikat media negara.
Majlis kemuncak HAWANA 2025 dengan tema “Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika” itu dihadiri kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara.
Mengulas lanjut, Anwar berkata beliau tidak berminat untuk memenjarakan individu tertentu, sebaliknya hanya berminat mahu mendapatkan kembali wang negara yang diselewengkan pihak tertentu supaya dapat dikembalikan demi manfaat rakyat.
Beliau juga hairan bagaimana negara ‘mengizinkan’ penyelewengan sehingga puluhan bilion dipunggah oleh beberapa orang tokoh politik dan korporat, kemudian dilupakan begitu sahaja.
“Di mana pengajarannya? Apa makna kuasa? Saya bukan ada minat nak penjarakan orang. Saya ada minat nak rampas balik wang itu supaya kembali kepada rakyat. Itu minat saya. Dan saya nak hentikan budaya ini (penyelewengan kuasa dan rasuah) .
“Saya memang tahu, yang dicari (mereka) itu hanya hal-hal ‘titik bengik’ yang boleh mengasingkan dan meminggirkan isu pokok, mengalih pandangan kepada isu-isu lain dan percayalah negara ini akan hanya selamat kalau kita selesaikan masalah pokok, soal pengurusan kewangan negara, baru kita boleh bicara tentang peruntukan tambahan,“ katanya.
HAWANA mula diperkenalkan pada 2018 sebagai pengiktirafan kepada sumbangan wartawan dalam pembangunan negara, dan tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional mengambil sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939 bagi meraikan sumbangan pemain industri yang menjadi medium untuk membentuk minda masyarakat bermakluman.