• 2025-07-28 10:25 PM

JAKARTA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Jakarta hari ini bagi menghadiri Rundingan Tahunan Ke-13 bersama Presiden Indonesia Prabowo Subianto.

Pertemuan rasmi dijadualkan berlangsung esok di Istana Merdeka, Jakarta Pusat.

Pesawat khas membawa Perdana Menteri mendarat di Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma, Jakarta Timur pada 7.40 malam waktu tempatan.

Ketibaan beliau disambut wakil Kerajaan Indonesia termasuk Menteri Luar Negeri Sugiono dan Menteri Dalam Negeri Tito Karnavian serta Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin.

Ini merupakan rundingan pertama antara kedua-dua pemimpin negara serumpun itu.

Rundingan seumpama ini kali terakhir diadakan di Kuching, Sarawak pada 22 November 2017.

Menurut Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Syed Mohamad Hasrin, Rundingan Tahunan itu merupakan mekanisme dua hala tertinggi antara Malaysia dan Indonesia.

Ia bertujuan memperkukuh kerjasama strategik dan menyeluruh dalam pelbagai bidang.

Selain pertemuan dengan Prabowo, Anwar turut dijadualkan melawat Sekretariat ASEAN di Jakarta.

Beliau akan menyampaikan ucapan dasar mengenai ASEAN dalam konteks Pengerusi ASEAN oleh Malaysia bagi tahun 2025. – Bernama