PPM gagalkan cubaan seludup di Semporna, Tawau

SEMPORNA: Cubaan seorang lelaki Pala’u menyeludup keluar 10 tong berisi 300 liter minyak petrol ke Filipina gagal selepas dikesan Pasukan Polis Marin (PPM) di Pulau Sisipan dekat sini, semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata suspek berusia 28 tahun yang tidak memiliki dokumen diri itu ditahan pada 5.30 petang selepas turut gagal menunjukkan dokumen kebenaran membawa minyak daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Pemantauan unit risikan marin mendapati suspek mengumpul bekalan petrol yang dibeli di pekan Semporna sebelum diseludup ke Filipina,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, pada hari sama di Tawau, Mohamad Pajeri berkata pihaknya turut menahan seorang nelayan warga Indonesia serta merampas 6,000 penutup mulut dan hidung yang cuba diseludup masuk dari Indonesia menerusi Laut Batu 3 pada 7.30 pagi.

Katanya, lelaki berusia 38 tahun itu ditahan selepas bot dikendalikan diperiksa dan didapati membawa tujuh kotak berisi penutup berkenaan.

Menurutnya suspek juga gagal mengemukakan dokumen kebenaran membawa barangan buatan Indonesia itu ke negara ini. — Bernama