SEREMBAN: Status semasa projek pembangunan (perbelanjaan) diluluskan bagi suku tahun pertama ini adalah RM20.73 juta bagi tempoh Januari hingga Mac, daripada peruntukan RM140 juta tahun ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata prestasi perbelanjaan 3 peruntukan tertinggi dicatatkan ialah peruntukan P50 (Menteri Besar) dengan peratus perbelanjaan 50.35 peratus diikuti P55 (Jabatan Kerja Raya - 15.95 peratus) dan P54 (Jabatan Pengairan dan Saliran - 3.87 peratus).

Beliau turut memperincikan 418 projek berdasarkan peruntukan pembangunan itu.

“Status fizikal projek berkenaan adalah 77 projek dalam kategori belum mula, iaitu 18.42 peratus; 201 projek dalam kategori pra-pelaksanaan (48.09 peratus); 129 projek dalam kategori dalam pelaksanaan (30.86 peratus) dan 11 projek dalam kategori siap, (2.63 peratus),” katanya ketika sesi pertanyaan lisan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Datuk Seri Mohamad Hasan yang ingin tahu mengenai status semasa projek pembangunan diluluskan bagi suku tahun pertama kewangan, tahun ini.