KUALA LUMPUR: Rapid Bus Sdn Bhd memperkenalkan lima zon baharu perkhidmatan Rapid Kl On-Demand bermula Isnin ini, yang akan berfungsi sebagai sambungan kepada laluan Transit Aliran Massa (MRT) di laluan Kajang dan Putrajaya.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi) Prasarana Malaysia Berhad Amir Hamdan berkata inisiatif peluasan zon kali ini tertumpu kepada kawasan yang mempunyai jumlah kepadatan penduduk yang tinggi serta kawasan urbanisasi yang semakin berkembang.
“Ini adalah langkah Rapid Bus dalam menyediakan penyelesaian perjalanan ‘first-mile, last-mile’ yang lebih fleksibel dan mudah.
“Selaras dengan komitmen kami terhadap mobiliti lestari serta menggalakkan penggunaan pengangkutan awam yang lebih menyeluruh, kami akan terus berusaha untuk memastikan perkhidmatan Rapid KL On-Demand ini lebih efisien dan menepati permintaan pengguna,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata zon-zon yang boleh ditempah menerusi aplikasi Rapid On-Demand ialah MRT Kwasa Sentral ke Subang Bestari serta Subang Skypark Terminal melibatkan empat van manakala MRT Semantan ke Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggunakan dua van.
Bagi MRT Metro Prima ke Taman Beringin pula menggunakan tiga van, MRT Putrajaya Sentral ke Presint 1 (tiga) dan MRT Cyberjaya City Centre ke kawasan Cyberjaya (lima).
Peluasan zon berkenaan menjadikan jumlah keseluruhan zon On-Demand di Laluan Kajang dan Putrajaya kepada 16 dengan 46 van, manakala di seluruh Lembah Klang perkhidmatan kini beroperasi di 60 zon dengan 162 van.
Perkhidmatan itu menawarkan jaminan tempat duduk dan boleh ditempah setiap hari dari 6 pagi hingga 11.30 malam melalui aplikasi Rapid On-Demand, yang boleh dimuat turun secara percuma daripada Google Play Store dan Apple App Store.
Harga promosi RM1 setiap perjalanan masih diteruskan, dengan mod pembayaran yang diterima termasuk kad debit atau kredit, kad Touch ‘n Go, Kad Konsesi MyRapid, Pas OKU Smile dan Pas Perjalanan Tanpa Had seperti My50, MyCity, MyTourist dan Pas Famili.
Maklumat lanjut mengenai perkhidmatan itu boleh diperoleh menerusi media sosial rasmi Rapid KL atau laman web www.myrapid.com.my.