Rokok tidak bercukai diedar guna lori lengkap dokumen ‘perkhidmatan penting’

JOHOR BAHRU: Cubaan satu sindiket untuk mengedarkan rokok tidak bercukai dengan mengangkutnya menggunakan lori, lengkap dengan dokumen “perkhidmatan penting” tidak kesampaian apabila taktik itu berjaya dihidu pihak polis yang melakukan serbuan di sebuah ladang sawit di Pekan Nanas, Pontian, semalam.

Komander Paskan Polis Marin Bukit Aman SAC Mohd Yusoff Mamat berkata serbuan dilakukan pada pukul 2.30 petang ketika empat lelaki yang dipercayai pengedar rokok itu, sedang memunggah 45,000 paket atau 910,000 batang rokok jenama U2 daripada sebuah lori ke dalam tiga kenderaan.

Bagaimanapun menyedari kehadiran polis, tiga daripada mereka sempat melarikan diri manakala seorang lagi berjaya ditahan.

“Nilai keseluruhan rokok yang dirampas bersama tiga kenderaan iaitu jenis Toyota Alphard, Toyota Innova dan Proton Exora adalah RM982,500,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Mohd Yusoff berkata berdasarkan siasatan ke atas suspek berusia 24 tahun yang ditahan itu, sindiket didapati menggunakan lori berkenaan untuk mengelak daripada ditahan pihak berkuasa dalam Sekatan Jalan Raya (SJR).

“Lori tiga tan jenis Hino warna putih ini datang daripada Kuala Lumpur untuk memasuki Johor. Ia didaftarkan di bawah sebuah syarikat di negeri ini.

“Selain itu, lori ini juga dikategorikan sebagai lori ‘essential services’, bila ada sekatan (SJR ) tiada masalah kerana selagi ada dokumen, ia tidak akan diperiksa dan muatan boleh lepas. Oleh itu, saya rasa ia (kegiatan itu) telah aktif sejak dua atau tiga bulan lepas ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan,” katanya.

Beliau berkata tangkapan kini sudah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian dan proses permohonan reman terhadapnya sedang dibuat.

“Dalam masa sama, polis sedang mengenal pasti tiga suspek berusia diantara 20-30 tahun yang melarikan diri itu. Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967,” katanya. – Bernama