KUALA LUMPUR: Semangat patriotik dan kegembiraan meraikan ulang tahun kemerdekaan negara turut bergema di seluruh pelosok tanah air sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025.
Mengangkat tema “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”, sambutan edisi ke-68 menyerlahkan semangat perpaduan nasional sebagai tunjang kekuatan negara.
Pada setiap lokasi, sambutan disemarakkan dengan kibaran Jalur Gemilang, alunan lagu-lagu patriotik serta persembahan kebudayaan pelbagai kaum dan etnik.
Di Perak, kira-kira 50,000 pengunjung memenuhi pekarangan Dewan Bandaran Ipoh bagi menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan 2025 Peringkat Negeri.
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim turut berangkat ke sambutan yang menyaksikan perarakan dan perbarisan melibatkan 107 kontinjen.
Di Kedah pula, sambutan dimeriahkan dengan kehadiran kira-kira 40,000 pengunjung yang menyaksikan acara terbang lintas hormat melibatkan aset udara Angkatan Tentera Malaysia.
Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Ariff turut berangkat pada sambutan di Dataran Medan Bandar, Alor Setar.
Sambutan di Perlis meriah dengan penyertaan sebanyak 2,820 ahli kontinjen perbarisan dan perarakan termasuk pembawa Jalur Gemilang.
Acara itu turut diserikan dengan keberangkatan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid.
Di Pulau Pinang, lebih 25,000 orang membanjiri pekarangan Stadium Batu Kawan bagi menyaksikan perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan peringkat negeri.
Menariknya hadirin disajikan dengan persembahan khas Gendang Tiga Budaya oleh Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang yang menampilkan elemen muzik daripada tiga kaum majoriti.
Di Pahang, Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat ke sambutan di Padang Majlis Bandaraya Kuantan.
Acara dimeriahkan menerusi perarakan 150 kontinjen dengan 82 kontinjen perbarisan dan 68 kontinjen berkenderaan selain penerbangan lintasan hormat empat pesawat Sukhoi Su-30MKM.
Sambutan di Terengganu menyaksikan keberangkatan Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin pada acara di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
Turut berangkat Tengku Sri Setia Mahkota Raja Tengku Datuk Seri Muhammad Mu’az dan Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Datuk Seri Fatimatuz Zahra diiringi Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Acara perarakan bermula kira-kita 9 pagi dengan menyaksikan sebanyak 3,972 peserta daripada 122 kontinjen berarak melintasi pentas diraja.
Di Johor, Majlis Perbarisan, Perarakan dan Perhimpunan Sambutan Hari Kebangsaan ke-68 disambut meriah di Batu Pahat menyaksikan penyertaan 165 kontinjen.
Sambutan turut dihadiri Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi, Speaker DUN Johor Datuk Mohd Puad Zarkashi serta kehadiran lebih 10,000 rakyat pelbagai kaum.
Di Melaka, sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri berlangsung meriah di Persiaran Jalan Merdeka Banda Hilir dengan kehadiran lebih 50,000 pengunjung.
Sejumlah 8,167 peserta daripada 147 kontinjen terlibat dalam perbarisan tahun ini yang diserikan dengan perarakan 442 unit pelbagai jenis kenderaan.
Sambutan tahun ini turut mencatat sejarah apabila buat kali pertama acara lintas hormat udara melibatkan pesawat tempur Sukhoi dan pesawat angkut taktikal C130-H Hercules dilaksanakan.
Di Negeri Sembilan, lebih 30,000 pengunjung pelbagai lapisan masyarakat membanjiri pekarangan dataran Majlis Bandaraya Seremban seawal 3 pagi.
Sambutan turut menyaksikan keberangkatan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.
Sebanyak 87 kontinjen membabitkan 5,000 peserta menyertai perbarisan sambutan Hari Kebangsaan terdiri daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan.
Di Sabah, sebanyak 169 kontinjen menyertai perarakan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2025 Peringkat Negeri yang berlangsung di Jalan Tun Fuad Stephens.
Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman dan isteri Toh Puan Faridah Tussin bersama Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menghadiri sambutan berkenaan. – Bernama