KUALA LUMPUR: Sebuah spa tiga tingkat yang disyaki menawarkan perkhidmatan seks haram di Jalan Sultan Ismail, Bukit Bintang berjaya dibongkar Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur dalam Ops Gegar hari ini. Serbuan dilakukan sekitar 4.45 petang berikutan aduan orang awam.
Ketua Pengarah Imigresen Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata seramai 22 individu ditahan termasuk 15 wanita warga asing, lima lelaki warga asing dan dua lelaki tempatan berusia 19 hingga 36 tahun. “Premis ini menawarkan pakej seks dan urutan badan atau perkhidmatan seks sahaja dengan harga RM250 hingga RM450 bergantung kewarganegaraan pelayan seks,“ jelasnya di lokasi kejadian.
Antara yang ditahan ialah enam wanita Indonesia, lima wanita Vietnam, dua wanita Bangladesh serta seorang masing-masing dari Mongolia dan China. Dua lelaki tempatan yang berperanan sebagai penjaga premis ditahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi pekerja tanpa izin.
“Semua warga asing ditahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas atau permit. Tujuh notis saman kepada saksi juga dikeluarkan untuk bantu siasatan,“ tambah Wan Mohammed Saupee. Operasi ini membuktikan komitmen berterusan pihak berkuasa membanteras kegiatan jenayah terancang termasuk eksploitasi manusia. - Bernama