PUTRAJAYA: Sijil Alternatif Sekolah Menengah (SASM) tahun 2024 bagi murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) akan dikeluarkan pada 26 Feb ini dan boleh diperoleh dari sekolah masing-masing mulai 10 pagi.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini berkata Pentaksiran Alternatif Sekolah Menengah (PASM) tahun 2024 bagi MBPK telah selesai dilaksanakan pada 7 Jan lepas.
Seramai 4,886 MBPK dari 841 sekolah di seluruh negara telah menamatkan persekolahan bagi sesi akademik 2024/2025 dan layak menerima SASM.
“KPM sentiasa komited untuk terus memastikan ekuiti dan kesamarataan pendidikan terjamin untuk semua murid seperti terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025,” menurut kenyataan itu.
KPM berkata SASM adalah cerminan agenda pendidikan manusiawi kementerian bagi memastikan akses pendidikan yang terbaik untuk semua murid dan tiada siapa yang terpinggir.