BUKIT MERTAJAM: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) sedang mengesan rangkaian sindiket pernikahan kampung menggunakan jurunikah tiada tauliah, susulan serbuan ke atas satu majlis pernikahan tanpa kebenaran di sebuah rumah di Kubang Semang di sini baru-baru ini.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) Datuk Mohamad Abdul Hamid berkata berdasarkan siasatan JHEAIPP, pernikahan itu dijalankan oleh rangkaian sindiket yang menerima upah dengan jumlah tertentu dan telah bergiat aktif sejak beberapa bulan lepas di negeri ini.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri I berkata sindiket itu melakukan satu kesalahan besar iaitu membuat urusan pernikahan tanpa tauliah atau kelulusan daripada pihak berkuasa dan ia melanggar undang-undang berdasarkan kepada Enakmen Pentadbiran Agama Islam di Pulau Pinang.
“JHEAIPP mendapat maklumat awal kegiatan itu berlaku sejak beberapa bulan lepas sebelum pasukan penguat kuasa menjejak dan membuat risikan kes yang berlaku Kubang Semang itu dua bulan lepas, dengan mereka sendiri menyamar dan membuat tangkapan ketika majlis pernikahan tersebut berlangsung.
“Ketika ini JHEAIPP sedang mencari dan mengesan rangkaian sindiket itu kerana siasatan mendapati selain yang ditahan masih ada lagi mereka yang terlibat. Kesan daripada pernikahan palsu ini adalah besar kerana membabitkan agama,“ katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohamad ditemui selepas merasmikan Seminar Maqasid Syariah Tahun 2025 Peringkat Pulau Pinang dan turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan yang menyampaikan ucaptama lsa majlis itu.
Mengulas lanjut, beliau berkata JHEAIPP juga sedang mengesan pasangan yang telah dinikahkan oleh sindiket itu supaya tindakan segera dapat dibuat ke atas mereka mengikut prosedur nikah yang ditetapkan JHEAIPP dan berlandaskan Islam.
“Pasangan yang menjadi mangsa atau telah dikahwinkan oleh sindiket itu juga diminta tampil membuat laporan kepada JHEAIPP supaya siasatan serta pemeriksaan lanjut boleh dijalankan.
“Setakat ini kami tiada rekod berapa banyak pasangan telah dinikahkan cuma siasatan awal mendapati lelaki yang mahu menikahkan pasangan ketika ditahan itu bukan mereka yang diberikan kebenaran untuk menikahkan orang atau dilantik sebagai Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk Negeri Pulau Pinang, cuma orang biasa yang tinggal di kawasan tersebut,” katanya
Semalam media melaporkan JHEAIPP melumpuhkan kegiatan sindiket pernikahan kampung dan menahan dua lelaki yang sedang menjalankan majlis pernikahan tanpa kebenaran di sebuah rumah di Kubang Semang.
Serbuan pada 8.55 malam 24 Julai lepas itu adalah kejayaan pertama di Pulau Pinang membabitkan penahanan jurunikah dan orang tengah yang bertindak sebagai ejen bagi pernikahan palsu itu dan ketika serbuan tujuh individu termasuk dua wanita berada dalam rumah itu yang sedang mengadakan upacara pernikahan.
Jurunikah berusia 60 tahun itu dan orang tengah iaitu ejen yang berusia 73 tahun ditahan mengikut Seksyen 19 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang - BERNAMA