• 2025-08-31 05:10 PM

SEREMBAN: Sambutan Hari Kebangsaan 2025 peringkat Negeri Sembilan di Dataran Majlis Bandaraya Seremban menampilkan kelainan dengan persembahan sketsa ‘Operasi Bersepadu’ oleh anggota keselamatan yang memukau ribuan pengunjung.

Persembahan berteraskan pendekatan keseluruhan kerajaan dan keseluruhan masyarakat ini merupakan usaha kolektif agensi kerajaan dan masyarakat dalam menjamin keselamatan, keharmonian serta kesejahteraan.

Ia turut menggambarkan kesiapsiagaan menghadapi situasi kecemasan dengan melibatkan pelbagai agensi termasuk Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Kementerian Kesihatan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, KPJ Seremban dan Majlis Bandaraya Seremban.

Fragmen persembahan khas Hari Kebangsaan itu diilhamkan Panglima Briged Pertama Infantri Malaysia Brig Jen Zamri Othman serta mendapat sentuhan Pengarah Artistik dan Konsep Persembahan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sembilan Mohd Zuhairi Ibrahim.

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud berkenan berangkat ke sambutan tersebut.

Ketibaan baginda berdua disambut Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun bersama-sama Undang Luak Johol Datuk Muhammed Abdullah, Undang Luak Jelebu Datuk Maarof Mat Rashad dan Tunku Besar Tampin Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri serta barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Sebanyak 87 kontinjen membabitkan 5,000 peserta menyertai perbarisan terdiri daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, badan berkanun, pentadbiran daerah, badan bukan kerajaan, sekolah dan institusi pengajian tinggi serta syarikat swasta.

Istiadat Kawalan Kehormatan Utama terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat daripada Batalion Ke-15 Rejimen Askar Melayu Diraja, Senawang diketuai Mejar Muhammad Hazim Abdul Ghalib.

KKU diiringi Pancaragam Gabungan Pasukan 24 RAMD dan dua Kor Armor Diraja dengan kekuatan 32 anggota lain-lain pangkat diketuai PW II Azuan Zakari dengan iringan muzik termasuk lagu Berbuat Jasa, Perwira, Gagah Setia dan Lemak Manis.

Selain persembahan sketsa, perarakan aset agensi serta kenderaan berhias, sambutan turut menampilkan buat kali pertama maskot rasmi Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 iaitu sepasang rusa sambar diberi nama ‘Jang’ dan ‘Dagho’ oleh Kontinjen Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan.

Aminuddin melahirkan rasa kagum dengan persembahan kali ini serta menzahirkan penghargaan kepada kira-kira 30,000 pengunjung berbilang bangsa dan kaum yang hadir memeriahkan sambutan biarpun hujan renyai awal pagi.

Beliau menyatakan kehadiran pengunjung yang lebih ramai daripada tahun lepas menunjukkan semangat cinta akan tanah air begitu tinggi dan mereka berpuas hati melihat persembahan.

Warga emas dari Taman Desaru, Junaidah Abdul Rahman, 70, bersama suami dan dua anak perempuannya teruja kerana dapat menyaksikan persembahan itu dan terharu dengan mesej disampaikan.

Guru Nurul Hafizah Huzman, 40, berkata dia membawa tiga anak kerana mahu mereka merasai kemeriahan suasana sambutan Hari Kebangsaan dan menanam rasa cinta akan tanah air sejak kecil. – Bernama