• 2025-07-26 11:04 PM

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri, agensi kerajaan dan swasta digalakkan untuk menjadikan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) sebagai pilihan utama bagi pemberian insentif kepada petugas dan pelajar.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud berkata Simpan SSPN yang diuruskan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memainkan peranan penting dalam memastikan akses pendidikan tidak terhalang oleh kekangan kewangan.

“Saya difahamkan sejak 2004, PTPTN telah memfokuskan kepada misi menggalakkan penabungan untuk mengurangkan kebergantungan masyarakat kepada pinjaman. Dalam tempoh lebih dua dekad, Simpan SSPN terus merekodkan prestasi mampan pada setiap tahun dan mendapat keyakinan serta kepercayaan masyarakat,“ katanya ketika berucap merasmikan Karnival Anak Warisan Simpan SSPN (KAWAN) 2025 di sini hari ini.

Mustapha berkata Simpan SSPN telah merekodkan jumlah deposit mencecah RM21.93 bilion dengan bilangan akaun 6.98 juta setakat 30 Jun lepas.

“Simpanan untuk pendidikan ialah satu bentuk pelaburan jangka panjang yang menjamin masa depan anak-anak,“ katanya sambil menambah deposit Simpan SSPN yang diterima di Sabah adalah berjumlah RM689.84 juta dengan akaun dibuka lebih 500,000.

Pengerusi PTPTN Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata PTPTN menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat kepada pendeposit menerusi produk Simpan SSPN, antara lain pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan hingga RM8,000 setahun.

“Manfaat perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan secara percuma hingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak dan kadar dividen kompetitif serta patuh syariah,“ katanya.

Program KAWAN 2025 dianjurkan serentak melibatkan 14 negeri sebagai sebahagian komitmen PTPTN menyemai kesedaran kepentingan pendidikan dan nilai murni. - Bernama