• 2025-07-31 09:35 PM

KUALA LUMPUR: Polis menahan sepasang suami isteri bagi membantu siasatan kematian bayi perempuan berusia tujuh bulan, yang juga anak angkat mereka dipercayai akibat didera di Cheras.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras Supt Ridzuan Khalid mengesahkan penahanan pasangan berusia 38 hingga 50 tahun itu oleh Bahagian D11 Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur.

“Kedua-duanya kini direman seminggu bermula hari ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,“ jelasnya.

Punca kematian bayi tersebut masih disiasat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di 03-2115 9999.

Menurut laporan awal, bayi itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kesan kebiruan dan lebam di badan di ruang tamu rumah mereka di Bandar Sri Permaisuri.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad mengesahkan menerima laporan kejadian pada 9.34 malam semalam.

“Pasukan polis yang tiba di lokasi mendapati mangsa dalam keadaan kritikal dengan lebam di seluruh badan,“ jelas beliau.

Siasatan terperinci sedang dijalankan untuk menentukan punca sebenar kejadian. – Bernama