BATU PAHAT: Sebuah syarikat logistik di daerah ini mengalami kerugian lebih RM300,000 setelah ditipu sindiket penipuan Business E-mail Compromise (BEC), Mac lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Supt Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani dalam kenyataan berkata laporan berhubung kes itu diterima pihaknya daripada seorang pekerja syarikat terbabit yang bertugas sebagai juruwang, beberapa hari selepas kejadian.

Beliau berkata kejadian itu bermula pada 27 Mac lepas apabila mangsa menerima e-mel daripada syarikat luar negara yang berurusan dengan tempatnya bekerja menyatakan pertukaran akaun baharu dan meminta mangsa membuat bayaran berjumlah lebih RM400,000 bagi kos sewaan kontena.

“Tanpa membuat semakan terlebih dahulu, pada 2 April mangsa telah membuat pemindahan wang daripada akaun milik syarikat ke sebuah akaun bank luar negara dengan jumlah yang dinyatakan.

“Mangsa kemudiannya telah berhubung dengan wakil syarikat sebenar untuk membuat semakan bayaran, namun dimaklumkan oleh wakil terbabit pihaknya tidak pernah menghantar memo melalui e-mel untuk pembayaran ke akaun baharu,” katanya.

Beliau berkata mangsa melakukan semakan semula dan mendapati alamat e-mel tersebut adalah palsu selain merujuk pihak bank untuk membuat pembatalan pindahan wang yang dilakukan sebelum ini, namun hanya lebih RM120,000 sahaja dapat dikembalikan ke akaun syarikat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.