• 2025-09-05 01:11 PM

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru umat Islam di negara ini untuk terus mencontohi sunnah Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian serta memperkukuh kasih sayang sesama insan.

Beliau berkata sambutan Maulidur Rasul yang membawa tema “Membangun Ummah MADANI” tahun ini mengajak umat Islam untuk terus memperkukuh keimanan serta menguatkan perpaduan.

“Alhamdulillah, sambutan Maulidur Rasul tahun ini hadir seiring dengan Bulan Kemerdekaan Negara ke-68 dan Hari Malaysia.”

“Nilai perjuangan Baginda SAW yang penuh tekad, penuh kesabaran dan penuh kasih sayang seharusnya menjadi panduan dalam membina Malaysia yang bersatu padu, aman dan makmur.”

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadilah Yusof pula mengingatkan umat Islam di negara ini supaya menjadikan kepimpinan Rasullah SAW sebagai teladan tertinggi dalam pentadbiran, keadilan dan kasih terhadap umat.

Beliau berkata tarikh 12 Rabiulawal yang diraikan setiap tahun merupakan satu peristiwa penuh ibrah dan panduan hidup.

“Rasulullah SAW membina tamadun dengan asas akhlak, menegakkan amanah dalam urusan dan memastikan setiap dasar berlandaskan rahmah.”

“Sunnahnya tidak terbatas pada ibadah ritual semata-mata, tetapi juga merangkumi cara memimpin, mengurus masyarakat majmuk dan menegakkan keadilan tanpa mengira darjat.”

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mengajak masyarakat menyumbang dalam meneladani akhlak Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian.

Beliau berkata ia termasuk melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan yang mempromosikan perpaduan dan menyebarkan ilmu dan nilai-nilai Islam yang rahmatan lil ‘alamin.

“Maulidur Rasul mengingatkan kita tentang misi Nabi Muhammad SAW sebagai pembawa rahmat untuk seluruh alam.”

“Membangun Ummah MADANI mengajak kita untuk meneruskan legasi ini dengan membina masyarakat yang progresif, adil, dan berakhlak mulia.”

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir juga mengingatkan umat Islam supaya menjadikan Baginda contoh utama dalam kepimpinan dan membina masyarakat yang berteraskan rahmah dan ihsan.

“Hari kelahiran Nabi Muhammad SAW bukan sekadar sejarah, tetapi sebagai rahmatan lil ‘alamin yang memberi rahmat seluruh alam.”

“Baginda diutus untuk menyempurnakan akhlak, mengasihi yang lemah, menghormati yang tua, menegakkan keadilan dan menanam cinta kepada ilmu.” – Bernama